Orang Melayu mengumpulkan pengalaman hidup dengan pepatah petitih, peribahasa, bidalan dan perumpamaan. Semua ini menjadi aturan garis penyusunan masyarakat Melayu.
Pepatah petitih menjadi hukum dan syarat dalam satu-satu kelompok. Ini untuk memastikan keharmonian kelompok tersebut.
Orang berbudi kita berbahasa. Orang memberi kita merasa. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Bulat air kerana pembetung. Bulat manusia kerana muafakat.
Dalam Adat Perpatih di Negeri Sembilan, kata-kata bilangan ini ialah ungkapan atau rangkaian kata berirama yang berfungsi sebagai undang-undang, panduan hidup, dan falsafah masyarakat.
Kelebihan nabi dengan mukjizat
Kelebihan umat dengan muafakat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia dengan muafakat
Di mana bumi dipijak
Di situ langit dijunjung.
Ini ciri tamadun Melayu. Ini konstruksi pembinaan falsafah tamadun Melayu. Konstruk sosial inilah yang menjadi Melayu itu Melayu. Ia menjadi hukum-hakam yang tidak bertulis tetapi wajib dihayati.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung adalah saintifik. Kaki kita di bumi, kepala kita menjunjung langit.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung adalah falsafah Melayu yang lahir dari budaya merantau. Merantau memberi makna kita sampai ke satu wilayah baru, ke satu pekan baru, ke satu daerah baru, atau ke satu negeri baru.
Justeru di tempat baru ini, Melayu si pendatang wajib mengikut adat istiadat dan budaya tempatan. Justeru lahir falsafah masuk kandang lembu menguak, masuk kandang kambing mengembek.

Lihat betapa indahnya manusia Melayu yang merantau, yang berkelana, atau yang berhijrah ke tempat asing. Mereka sedia menerima adat istiadat dan cara hidup masyarakat bumiputera watan tempatan.
Budaya, fikrah, dan falsafah Melayu ini wajib menjadi pegangan untuk para pendatang. Jika falsafah hidup Melayu ini diamalkan, maka keharmonian boleh ditegakkan.
Untuk memahami lebih mendalam falsafah Melayu: "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung", saya papar berita dan maklumat di mana terbukti keabsahan falsafah Melayu ini.
Homoseksual di England
Hubungan homoseksual secara persendirian antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan mula dinyahjenayah di England dan Wales melalui Akta Kesalahan Seksual 1967 bagi golongan dewasa yang berumur melebihi 21 tahun.
Di Scotland, akta yang sama menyusul pada tahun 1980 dan Ireland Utara pada tahun 1982.
Ini bermakna cinta sejenis bukan satu kesalahan dan bukan jenayah di UK–negara yang terawal menyahjenayahkan homoseksual.
Usia persetujuan untuk hubungan seksual: diseragamkan pada umur 16 tahun bagi semua orientasi seksual di seluruh United Kingdom pada tahun 2000/01 dan di Ireland Utara menjelang tahun 2008.

Tup-tup, satu mullah dari Pakistan mahu undang-undang ini diketepikan. Satu Pak Haji dari Karachi membelasah satu anak muda lelaki Pakistan di Manchester. Kesalahan anak muda lelaki Pakistan ini ialah kerana bercumbu mesra dengan seorang anak muda lelaki Mat Salleh.
Tidak cukup dengan ini, pada 19 Februari 2006, portal berita Al Jazeera melaporkan bagaimana ada kumpulan pendatang dari Pakistan yang beragama Islam mahu hukuman syariah diperkenalkan di UK.
Mengikut berita ini, empat dari 10 Muslim mahu hukum syariah dijalankan.
Satu daripada lima responden yang ditinjau oleh akhbar harian Sunday Telegraph menyatakan simpati terhadap "perasaan dan motif" pengebom yang mengorbankan 52 nyawa dalam serangan kereta api bawah tanah London pada 7 Julai 2005 oleh penyokong Al-Qaeda.
Perangai dan kelakuan pendatang yang tidak tahu di mana bumi dipijak ini menimbulkan kebencian yang amat sangat dari anak watan Bumiputera Mat Salleh.
Permintaan memperkenalkan hukum syariah di UK menimbulkan ketegangan. Lalu anak watan Mat Salleh memperlekehkan Islam.
Mereka berhujah jika hukum syariah diluluskan di UK, maka kahwin dengan kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dibenarkan.
Sikap tidak sedar di mana bumi dipijak ini semakin menyerlah. Bila Bumiputera Mat Salleh marah dan mempertikaikan tindak-tanduk pendatang jenis ini, maka hujan rasis digunakan.
Tuduhan rasis terhadap Bumiputera ini menjadi senjata utama mereka. Walhal mereka gagal untuk mengamalkan "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung".
‘Bunuh aib’
Kacau-bilau dan huru-hara dalaman yang dibawa oleh pendatang ini telah melonggarkan keharmonian masyarakat setempat.
Semua ini memperkuatkan lagi sokongan Bumiputera Mat Salleh kepada Parti Reform UK. Parti Reform UK bergaris kanan. Agenda utamanya ialah menolak, menghalau, dan menghantar pulang pendatang yang hari ini terus menceroboh masuk ke UK secara gelap dan terang.
Di Sweden, perkara sama berlaku. Baik hati Bumiputera Sweden juga tercabar. Ini apabila pendatang gagal untuk memahami falsafah di mana bumi dipijak.
Kes menyerlah di Sweden ialah apa yang dipanggil ‘honour killing’ atau ‘bunuh aib’.
Pembunuhan demi maruah dan membersihkan aib keluarga ini sedang dihadapi oleh Bumiputera Sweden.
Keganasan berasaskan maruah di Sweden merujuk kepada tindakan yang membawa maut serta bersifat paksaan yang dilakukan oleh anggota keluarga atau komuniti demi memelihara atau memulihkan tanggapan terhadap maruah keluarga.
Tindakan ini sering berkait dengan usaha mengawal aspek seksualiti, autonomi, atau pilihan sosial saudara perempuan.
Portal Scandinavian University Press pada 24 Januari 2024 menerbitkan laporan memetik kajian yang menunjukkan terdapat 16 individu dalam penjara yang disabitkan kesalahan bunuh aib dan jenayah berkaitan keganasan berasaskan maruah.

Fadime Şahindal mati dibunuh pada 21 Januari 2002. Fadime seorang pendatang berbangsa Kurdish yang berpindah ke Sweden dari Turki pada usia tujuh tahun. Anak gadis ini dibunuh oleh bapanya, Rahmi, pada bulan Januari 2002 dalam satu kes pembunuhan demi maruah.
Anak gadis berumur 27 tahun ini dibunuh oleh ayah sendiri kerana dia ada kekasih lelaki Sweden.
Kelakuan dan perangai seperti ini melahirkan kebencian terhadap pendatang. Pendatang ini tidak mengamalkan falsafah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Kegagalan pendatang ini untuk menerima budaya dan gaya hidup warga Bumiputera Eropah menjadikan mereka ini satu sebab untuk pendatang terus ditentang dan dihalang kesampaian mereka.
Bayangkan seorang Pak Lebai dari Kota Bharu tinggal di London. Dia akan terperanjat bila mengetahui bahawa di Eropah kita tidak ada konsep berkhalwat atau berzina.
‘Mereka dah kahwin atau belum’
Pak Lebai ini akan terperanjat bila mengetahui ramai pelajar Melayu ada yang memiliki balak atau minah Mat Salleh. Malah tinggal serumah.
Masih segar dalam ingatan di pagi musim panas 1983. Ketika itu emak dan abah saya menziarah saya di kota London. Pagi itu di Stesen Stratford, East London kami sedang menunggu kereta api bawah tanah. Di hadapan kami ialah beberapa pasangan muda Bumiputera Mat Salleh. Mereka sedang bercumbu dan berpelukan.
Lalu arwah Emak saya bertanya: "Mereka ini dah kahwin atau belum?"
Satu soalan yang sah diterima jika soalan ini muncul di stesen LRT Bangsar. Tapi soalan ini tidak pernah timbul di kota London.
Lalu saya jawab: "Mak, di sini orang tak tanya hal ini."
Tapi emak dan abah saya bukan nak jadi pendatang. Justeru tidak timbul pertelingkahan dan krisis budaya.
Falsafah Melayu ini jelas dan terang. Masuk kandang lembu menguak. Masuk kandang kambing membebek. Dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Jangan datang cari makan di negara orang akhirnya mahu membuat perangai sendiri.
Kita di Malaysia juga sedang berhadapan dengan masalah pendatang. Ada pendatang lama dan ada pendatang baru. Ada sedar di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Ada yang masih bebal.
Masih ada pendatang lama dan pendatang baru yang gagal memahami falsafah di mana bumi dipijak. Justeru Bumiputera Melayu hari ini tahun 2026 sedang berhadapan dengan masalah pendatang lama dan baru.
Apa yang perlu dilakukan? Tunggu minggu hadapan. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
