KOLUM | Sungai Manik: Sebuah geografi kolonial
(Sejarah penjajahan dan kemerdekaan adalah pusingan masa yang berkitar setiap syarat memenuhi keperluan zaman. Watak, tempat dan masa perjuangan kemerdekaan dan terjajah hanya dapat difahami dari kaca mata sejarah yang jernih dan tenang.)
Orang di Tanah Melayu menjadikan lembangan sungai dan pinggir laut sebagai pusat petempatan sejak zaman berzaman. Di situlah terbentuknya tamadun agraria dan maritim sehingga membentuk kerajaan.
Sekian lama sejarah memaparkan nama-nama di atas takhta, jabatan dan segala gelaran tentang jasa mereka. Maka tercatatlah nama mereka dalam sejarah.
Sejarah memang sering meminggirkan mereka yang lemah meski setia.
Dalam Sulalatus Salatin, tiga putera raja yang turun ke jelapang padi milik Wan Empuk dan Wan Malini adalah simbol kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Kesaktian putera raja dari langit dan kegigihan pesawah wanita di bumi yang menghijau yang bersatu menjadi mitos bangsa. Akhirnya terbentuklah empayar kerajaan Melayu yang menjadi simbol kedaulatan bangsa di muka bumi ini.
Melalui peredaran zaman, Tanah Melayu mengalami bukan sahaja perubahan politik, terutamanya akibat gelombang imperialism British pada kurun ke-19.
Paling ketara ialah pembukaan tanah baru dengan pembukaan hutan belantara yang selama ini habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan liar subur.
Antaranya tanah baru yang dibuka oleh British ialah Sungai Manik.
Rencana British tergendala
Sungai Manik hanya wujud dalam peta Tanah Melayu apabila British memanfaatkan potensi Sungai Batang Padang sebagai sumber air kepada sebuah lembah yang subur.
Jelapang padi diperlukan bagi membekal beras kepada penduduk Tanah Melayu yang semakin meningkat.
Orang Melayu yang menjadi pribumi dan mereka yang berdagang mencari kehidupan baru.
British menyedari potensi air sungai yang mengalir dari banjaran Titiwangsa ke Sungai Bidor, Sungai Perak sebelum ke Selat Melaka.
Selepas Perjanjian Pangkor 1874, campurtangan British mentadbir Perak berlangsung dengan penuh sistematik dan lancar.
Peristiwa pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak pada Nov 1895, merencatkan rencana British tetapi dapat dipulihkan semula dengan beberapa tindakan.
Antaranya menurunkan Sultan Abdullah dari takhta kesultanan Perak dan menghukum para pembesar baginda. Sebahagiannya daripada hukuman sampai mati dan ada yang dibuang negeri.
British menawarkan perubahan kepada negeri-negeri yang bersedia menerima residen sebagai penasihat kepada baginda.
Segala jenis nasihat yang tidak boleh ditolak oleh baginda kecuali dalam hal ehwal agama dan adat istiadat.
Para teknokrat Inggeris datang sebagai pentadbir untuk berkhidmat di Tanah Melayu dan dilantik jawatan yang mempunyai kuasa eksekutif bagi menggantikan peranan pembesar tempatan.
Pembesar tempatan menjadi simbol kedaulatan Melayu berkuasa, termasuk sultan.
Di bawah kuasa residen, Perak dibahagikan kepada beberapa daerah. Sungai Manik terletak di bawah daerah Hilir Perak.
Pegawai-pegawai yang terbaik kepada ukuran kolonial akan bergerak dari satu jabatan dan negeri di bawah kawalan British.
Antara jawatan penting British ialah pegawai daerah dan jurutera pada setiap daerah.
Pada 1932, Department of Drainage and Irrigation (DID) ditubuhkan dan enam bulan kemudian pembukaan tanah seluas 5,000 ekar dimulakan beberapa batu dari pekan Teluk Anson.
Itulah kawasan penanaman padi Sungai Manik.
Bawa masuk buruh asing
Kerja-kerja itu dipantau oleh Senior DID Perak, BO Bush (1932 – 1935). Kemudian diteruskan oleh AR Murray dan sejumlah besar birokrat Inggeris yang taat setianya kepada Raja England – King George VI, bapa Queen Elizabeth, datuk kepada King Charles sekarang.
Campur tangan British dalam politik Perak tercetus selepas Raja Abdullah mengutus surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Andrew Clarke, meminta bantuan menyelesaikannya.
Ibaratnya, British mengantuk disorongkan bantal. British tidak terus bermimpi. British ambil peluang terbuka.
Sejarah seterusnya, kita pun sedia maklum dan lulus sewaktu menjawab kertas soalan sejarah SPM.
Persoalannya, sejarah terus berulang meski watak dan masanya berubah. Sejarah tidak pernah menjadi pengajaran.
Sejarah hanya dongeng untuk menakutkan-nakut dan mengkhayalkan rakyat bawahan yang naif. Seperti hari ini, dongeng tentang Islam yang terancam dan usaha menghakis kuasa Melayu.
Tidak sampai sedekad British menghantar residen ke Perak, British mendirikan pejabat pentadbiran, mahkamah, meningkatkan kemudahan pengangkutan dan pelabuhan.
Selain membawa askar sepoi dari India, British juga membawa buruh-buruh asing untuk mengerjakan lombong bijih dan sektor pertanian
Begitu juga membina balai polis, penjara, kem tentera mengawal dengan kekuatan senjata.
Pentadbiran British membina sistem birokrasi sehingga menjadi mata rantai yang menguasai jentera kerajaan.
Menanam impian sendiri
Seperti yang pernah diungkapkan ahli falsafah barat, Bertrand Russell, kuasa adalah tenaga yang menggerakkan manusia.
Mengikut hukum fizik, tenaga adalah asas kepada setiap pergerakan jirim. Tenaga akan berubah kepada bentuk yang berbeza mengikut perubahan terhadap jirim.
Kekuasaan bukan sahaja soal jumlah kerusi atau jabatan sama ada atas nama presiden, sultan, residen, wakil rakyat dan sebagainya.
Dimensi kekuasaan boleh berbentuk seperti kekuasaan ekonomi, birokrasi, ketenteraan, kekuasaan idea, kekuasaan agama dan juga kekuasaan kebudayaan.
Semua jenis kekuasaan itu terjalin dalam organisasi dari struktur seperti parti politik, kongsi gelap hinggalah kepada organisasi besar seperti sebuah negara berinteraksi.
Interaksi itu adalah proses persaingan atau pemindahan tenaga atau kekuasaan dari satu tangan kepada tangan lain atau pengekalan pada tangan yang sama.
Hampir 100 tahun dahulu, Sungai Manik adalah idea penjajah bagi mengatasi bekalan makanan melalui pembukaan hutan, kedatangan perantau dan pendatang menyambung kehidupan.
Para pentadbir penjajah, anak tempatan, perantau, pendatang menanam impian tersendiri pada sekeping bendang yang mengisi perut dan kantung kekuasaan.
Setelah tanah air 69 tahun merdeka apakah Sungai Manik masih lagi sebuah geografi kolonial?
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/05/3e0502f4d12eb681dd20d55e87170866.jpg)
