KOLUM | Bertempur dengan bayang-bayang kerana Pati
KOLUM | Mutakhir ini, media sosial aku disuap dengan kandungan-kandungan video seorang pempengaruh yang menari-nari dengan berpakaian dan bertingkah laku menyindir etnik Rohingya di negara ini.
Tujuannya? Mendedahkan lokasi-lokasi petempatan – atau boleh juga disebut ‘perkampungan’ – kumpulan pelarian berkenaan yang tumbuh merata terutamanya di sekitar Lembah Klang.
Jujur aku katakan, selaku orang yang memahami isu pergelutan golongan masyarakat terpinggir, tentulah kaedah memperlekeh serta mengolok-olok manusia lain termasuk pelarian dan individu tanpa negara adalah perkara yang menyakitkan hati.
Tindakan sedemikian – apabila nilai kemanusiaan direndahkan demi mengejar angka tontonan – terasa sangat dangkal. Namun, emosi geram itu disulam juga dengan satu dilema yang lebih rencam.
Apabila aku cuba melihat dari kaca mata yang lebih luas, aku terpaksa bertindak adil. Pempengaruh itu – dan ramai lagi individu yang melakukan siaran langsung media sosial di jalanan – bukan bertindak di dalam vakum tanpa sebab.
Mereka adalah sebahagian daripada kelompok masyarakat tempatan yang berdepan dan terkesan secara langsung dengan kewujudan petempatan serta penguasaan ruang hidup oleh etnik tersebut di kawasan mereka setiap hari.
Maka di sinilah titik dilema yang perlu diteliti: antara bantahan kita terhadap sindiran yang merendahkan kemuliaan insan, dan realiti keluhan warga tempatan yang kehilangan kualiti hidup di tanah air sendiri.
Layar telefon pintar hari ini dipenuhi siri terjahan ‘pendedahan’. Kamera dihalakan ke lorong sempit, kedai runcit tanpa lesen, restoran tanpa pengawasan kebersihan dan flat kos rendah, diiringi ruangan komen yang membara dengan emosi.
Berasa tertindas, dianiaya
Namun, di sebalik kekecohan itu, timbul persoalan: adakah ia satu bentuk kesedaran sivik atau sekadar gejala kepincangan sistemik yang sekian lama membarah?
Untuk melihat isu berkenaan secara saksama, kita tidak boleh terjerumus ke dalam kesilapan sesetengah aktivis yang secara melulu menuduh masyarakat tempatan sebagai xenofobia atau rasis.
Keluhan warga tempatan itu hakikatnya mempunyai asas yang nyata.
Bagi penduduk perumahan kos rendah atau peniaga kecil, petempatan asing dalam skala tidak terkawal membawa impak langsung kepada kualiti hidup.
Masalah kebersihan, pembuangan sampah, kerosakan kemudahan awam, pencemaran bunyi serta kesesakan paip dan lif bukan lagi sentimen yang direka-reka.
Begitu juga dalam sektor ekonomi mikro apabila lesen perniagaan disewakan secara haram oleh warga asing menerusi taktik “ali baba” oleh warganegara sendiri, peniaga kecil tempatan berasa tertindas dan teraniaya.

Menuntut persekitaran hidup yang bersih dan mematuhi undang-undang adalah hak hakiki setiap warganegara.
Bagaimanapun, cara kemarahan ini disalurkan mendedahkan kecelaruan bahaya.
Apabila netizen mengambil alih tugas pihak berkuasa untuk “menyoal siasat” di jalanan, berlaku kegagalan intelektual menerusi sikap memukul rata (blanket generalization).
Di mata netizen, tiada lagi perbezaan antara pendatang asing tanpa izin (Pati), pelarian pemegang kad UNHCR yang melarikan diri daripada genosid, mahupun anak-anak tanpa negara (stateless) yang lahir di sini.
Semuanya dipukul rata di bawah satu label: “pendatang haram yang perlu diusir”.
Kepincangan di peringkat komuniti
Tindakan menghukum di jalanan atau vigilantisme demi kandungan media sosial tidak pernah menyelesaikan akar masalah.
Ia sekadar memindahkan tekanan emosi awam sambil merosakkan prinsip kedaulatan undang-undang dan menghakis nilai kemanusiaan.
Jika diulas lebih mendalam, fenomena ini berpunca daripada dua kepincangan utama yang saling berkait.
Pertama, kepincangan sistem birokrasi dan penguatkuasaan. Kerangka undang-undang imigresen yang tidak membezakan status pelarian, stateless dan Pati telah mencipta zon kelabu (limbo).
Golongan pelarian dibiarkan tinggal di negara ini atas dasar kemanusiaan tetapi disekat daripada hak bekerja sah dan akses pendidikan asas. Apabila saluran sah ditutup, mereka terdorong ke dalam ekonomi gelap demi kelangsungan hidup.
Keadaan ini ditambah dengan penguatkuasaan reaktif yang hanya bertindak mengikut trend penularan video.
Kedua, kepincangan di peringkat komuniti pelarian dan pertubuhan yang membela mereka.

Harus diakui secara jujur bahawa sememangnya wujud usaha untuk mendidik komuniti asing itu untuk menghormati norma sosial, budaya dan piawaian kebersihan negara tuan rumah.
Akan tetapi mungkin sikap degil dan tamak sebahagian daripada kumpulan itu sendiri menggagalkan usaha tersebut sehingga mewujudkan konflik yang semakin membarah sejak akhir-akhir ini.
Pembelaan hak asasi yang bersifat sehala – hanya menuntut hak tanpa menekankan tanggungjawab sosial – akhirnya memakan diri dan mencetuskan penentangan penduduk tempatan.
Dalam ketegangan ini, wujud jurang komunikasi yang ketara antara dua kelompok warganegara.
Kegagalan tadbir urus sekian lama
Di satu sudut, wujud masyarakat awam yang berdepan realiti pahit di lapangan tetapi bersuara tanpa kefahaman nuansa perundangan dan kemanusiaan.
Di sudut lain pula wujud kelompok aktivis atau elitis yang faham teori pergelutan masyarakat terpinggir tetapi tidak pernah bergelumang dengan realiti sukar di flat kos rendah dan pasar awam.
Apabila kelompok di lapangan bertindak mengikut sentimen dan kelompok idealis melemparkan tuduhan dari kerusi empuk, wacana itu bertukar menjadi persengketaan sesama sendiri.
Sedangkan hakikatnya, kedua-dua pihak sekadar bertempur dengan bayang-bayang.
Musuh sebenar bukanlah warganegara yang menuntut kualiti hidup mahupun aktivis yang membela nasib sesama manusia.
Musuh sebenar ialah sistem birokrasi yang lemah, penguatkuasaan yang korup serta penguasa yang memilih menutup mata demi keuntungan pihak tertentu.
Ketirisan lesen perniagaan, sindiket penyeludupan dan ketiadaan dasar domestik yang jelas sejak berpuluh tahun lamanya adalah hasil kegagalan tadbir urus di peringkat atas.

Selagi rakyat dan kelompok pembela berbalah sesama sendiri, penguasa korup yang ada akan terus selesa berselindung di sebalik tembok birokrasi mereka.
Mencari titik tengah tidak bermaksud kita bersikap kompromi terhadap pelanggaran undang-undang. Sebaliknya, desakan dan kemarahan rakyat tidak seharusnya dihalakan sesama sendiri, tetapi mesti dihala terus ke atas muka pihak berkuasa.
Pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan mesti didesak untuk bertindak tegas, konsisten dan berkesinambungan. Serbuan terpilih apabila ada video tular di TikTok sama sekali tidak menyelesaikan masalah.
Ketegasan yang berhikmah
Premis haram, perniagaan tanpa izin dan penyewaan lesen perlu dibendung sejak awal sebagai benteng mengelakkan rakyat mengambil undang-undang di tangan sendiri.
Pada masa sama, kerajaan mesti mendesak dirinya sendiri untuk menyemak semula dasar domestik pengurusan pelarian.
Kerangka teratur seperti permit kerja terhad yang dipantau ketat dapat mengeluarkan mereka dari zon gelap, sekali gus membolehkan aktiviti mereka direkodkan dan diselia.
Bagi masyarakat awam, kita berhak menuntut kedaulatan undang-undang dan keselamatan kejiranan dipelihara. Namun, penuntutan hak itu tidak seharusnya dilakukan dengan merendahkan kemuliaan insan (karamah insaniah).
Gari dan hukuman dicipta untuk mendaulatkan undang-undang menerusi institusi yang sah, bukannya dijadikan alat hiburan di skrin telefon pintar.
Negara ini tidak akan menjadi lebih selamat hanya kerana kita bersorak meraikan sekumpulan manusia ditindas di media sosial.
Kedaulatan Malaysia yang sejati dipertahankan menerusi ketegasan dasar yang berhikmah, penguatkuasaan birokrasi yang bersih daripada korupsi dan nilai masyarakat yang kekal rasional.
Inilah yang sepatutnya menjadi hadiah terbaik buat negara sempena hari kemerdekaan.
NUR HADI MOHAMAD ialah pencinta sukan yang kini memberi fokus kepada isu kemanusiaan di sela-sela tugas hakikinya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/429962c903ea12205e5d942c61aa73df.png)
