KOLUM | Sindrom penafian terhadap 'sakau'
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik, tentulah dari konteks, mereka dapat faham apa ertinya perkataan “sakau”.
Tanpa merujuk kepada kamus, seseorang boleh faham bahawa istilah ini digunakan secara khusus terhadap ahli-ahli politik dan penjawat awam yang menggunakan kedudukan mereka untuk “mencuri” wang rakyat dengan pelbagai cara, secara melanggar undang-undang atau melalui perbuatan tidak berintegriti, termasuklah rasuah, korupsi, menyeleweng, pecah amanah dan perbuatan seperti “creative accounting”.
Lebih khusus lagi perkataan ini ditujukan kepada pihak Barisan Nasional oleh Pakatan Harapan. Tetapi apa yang dituduh terhadap BN sudah lama berlaku dan ditimbulkan, malah sebelum adanya PH, iaitu ketika pihak pembangkang dikenali dengan nama lain. Perlu sentiasa diingat bahawa BN memerintah dari tahun 1974 hingga 2018. Dari segi Umno, pemerintahan mereka adalah sejak tahun 1957 lagi.
PH pula baru memerintah pada tahun 2018 dan hanya dapat bertahan hingga 2020. Itupun mereka memerintah ketika di dalamnya ada Bersatu yang merupakan pecahan Umno. Dari 2020 pula, Umno terus berada dalam kerajaan sehingga ke hari ini. Tiada perubahan dari segi sikap, mentaliti dan amalan mereka. Walaupun PH yang memimpin dari tahun 2022, tetapi, Umno tetap menguasai kementerian-kementerian berdana besar
Saya mula sedar tentang adanya amalan korupsi dalam budaya politik negara ini ialah pada tahun 1975 apabila bekas Menteri Besar Selangor yang juga Ketua Pemuda Umno, Dato’ Harun Idris didapati bersalah dalam jes Bank Rakyat. Ketika itu, Pemuda Umno cuba menghalang beliau daripada ditangkap oleh polis. Ketika itu saya di tingkatan empat. Ia merupakan satu kejutan pada saya kerana ketika itu saya adaoah seorang remaja yang naif dan idealistik dengan menganggap semua pemimpin Melayu adalah bersih dan beramanah.
Bagaimanapun, akhbar alternatif Suara Rakyat yang editornya adalah Subky Latif, menimbulkan persoalan bahawa tindakan ke atas Dato’ Harun itu adalah atas motif politik. Pada masa itu terdapat persaingan kepimpinan Umno yang mana Dato’ Harun mampu mencabar Tun Razak dan Hussein Onn untuk menyandang jawatan Perdana Menteri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/7b820e57287a42fea28d5ec2978d711f.jpg)
Pada tahun 1973, kerajaan telah membesarkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Biro Siasatan Negara (BSN) , untuk menjadi seperti FBI Amerika. Tetapi apabila Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, BSN ditukar kembali menjadi BPR supaya dapat memberi fokus kepada rasuah semata-mata.
Tetapi apa yang berlaku pada tahun 1970-an adalah amat kecil berbanding sekarang yang membabitkan berbilion-bilion ringgit. Negara pun bertambah makmur dan koruptor semakin cerdik, maklumlah tahap pendidikan orang Melayu semakin tinggi. Dari sedikit lama-lama jadi bukit. Kalaulah “sakau” tidak berlaku, negara pasti sudah jauh lebih makmur dan maju.
Sebagai wartawan tentulah saya ada menemui kisah-kisah perilaku ahli-ahli politik yang menimbulkan rasa syak-wasangka terhadap kejujuran mereka dengan soal kewangan. Korupsi itu kelihatannya menjadi endemik dalam sistem. Saya sering bayangkan berapa banyak hospital dan sekolah dapat didirikan termasuk di Sabah jika korupsi dapat diminimumkan.
Perkataan “sakau” berasal dari slanga loghat Melaka yang bererti “mencuri” atau lebih tepat lagi “mengambil tanpa izin.”
Dari segi etimologi, iaitu kajian asal-usul perkataan “sakau” berasal dari perkataan “sakar” dalam bahasa Minangkabau yang bererti “merampas harta benda, menyamun atau mencuri.”
Berlakunya korupsi yang membabitkan perkhidmatan awam sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat. Ia merupakan sesuatu yang lumrah di negara-negaea Dunia Ketiga. Apa yang berlaku di Malaysia tidaklah seburuk berbanding negara lain tetapi ia tetap parah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/5f00ac7a560911f8bbfd5b2cb0a7b6ee.jpg)
Apabila Dr Mahathir mula menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, tiga dasar diperkenalkan untuk membanteras korupsi. Pertama ialah dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang bukan semata-mata slogan tetapi penerapan nilai. Kedua, dasar Kepimpinan Melalui Teladan adalah antara lain untuk membanteras korupsi dengan meningkatkan mutu perkhidmatan. Ketiga ialah Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam yang mana penegasannya adalah pada kejujuran dan amanah sebagai suatu nilai penting dalam beragama.
Tetapi paling sukar ialah apa yang berkaitan dengan ahli-ahli politik. Ini kerana mereka adalah pemimpin kerajaan. Ketua perlu tunjukkan teladan yang baik, dengan berintegriti kerana politik sepatutnya berdiri pada idealisme perjuangan.
Ketika berlaku pertandingan jawatan Umno pada tahun 1983, mula kelihatan penggunaan banyak wang untuk memperoleh undi perwakilan. Dari sinilah timbul istilah “politik wang.” Dr Mahathir sendiri memberi amaran bahawa politik wang akan memusnahkan Umno.
Pihak pembangkang sejak dari tahun 1974 sentiasa menimbulkan isu- isu korupsi. Pada ketika itu, parti yang sering menimbulkan perkara itu ialah DAP dan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Tetapi mereka sukar untuk mendapatkan maklumat dan bukti.
Dari tahun 1990 hingga tahun 1998, negara menjadi bertambah makmur dengan kemasukan modal asing. Tetapi kisah-kisah tentang mudahnya berlaku korupsi dengan adanya kontraktor-kontraktor besar sering disebut. Projek-projek mega dengan dasar kerajaan hendak mewujudjan golongan korporat Melayu memudahkan lagi berlakunya korupsi. Mereka yang melalui zaman ini tentunya masih ingat kemaruknya masyarakat Melayu dengan saham BSKL, “pink forms,” AP, tender, kontrak, “direct nego” dan semua konsep yang membawa kepada jalan pintas untuk menjadi kaya.
/file/attachments/orphans/UMNOOnline3_416685.jpg)
Apabila para wartawan berjumpa dengan perwakilan Umno termasuk Pemudanya semasa pemilihan jawatan dalam Perhimpunan Agungnya di PWTC akan terdengar apa yang mereka sering bualkan iaitu perkara-perkara kemewahan seoerti “Mercedes lampu mata bulat.” Di Selangor, ada konsep “Melayu Baru” bagi menggambarkan orang Melayu yang tegak berdiri yakin kerana memiliki kekayaan yang seolah-olah dimiliki melalui usaha perniagaan tetapi hakikatnya mendapatkannya melalui jalan “entitlement” sebagai ahli politik Umno.
Bagi orang yang faham tentang etika tentulah apa yang dilihat adalah korupsi. Tetapi bagi orang Umno umumnya, mereka tidak melihat perkara ini korupsi. Apa yang mereka perolehi adalah hadiah atau pendanaan yang mereka terima sebagai seorang ahli politik atau ahli perniagaan yang memperoleh bantuan selaras dengan hak istimewa orang Melayu.
Seperti kata seorang penyokong Umno semasa pilihan raya negeri Johor baru-baru ini, mereka tidak ambil duit rakyat. Ini kerana mereka adalah juga rakyat dan berhak menerimanya.
Apabila berlaku gerakan Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998, maka timbul kesedaran sebahagian rakyat bahawa korupsi sudah terlalu berleluasa dan endemik dalam masyarakat dan perlu dilawan. Maka adalah menjadi misi pihak pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan, DAP, PAS dan Parti Rakyat ketika itu untuk menjadikan korupsi sebagai isu besar yang perlu mereka tentang.
Pada tahun 2006, kerajaan meningkatkan kedudukan dan kuasa BPR kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Maka skandal terbesar korupsi negara berlaku dengan penubuhan 1MDB pada tahun 2009. Skandal ini akhirnya membawa perpecahan kepada Umno dengan melahirkan Bersatu, hingga akhirnya membawa BN kehilangan kuasa pada tahun 2018.
Pada hari kekalahan itu, sebuah portal berita pro-BN menyatakan bahawa BN kalah kerana persepsi bukan korupsi. Banyak penyokong BN menafikan kesalahan skandal 1MDB. Mereka kata skandal itu bukan “sakau” dan tindakan PH (termasuk Bersatu dan Dr Mahathir) adalah hanya bertujuan menyingkirkan Najib Razak.
Bukan saja BN menafikan kesalahan skandal 1MDB, PAS yang sudah mesra Umno turut menganggap BN tidak bersalah.
Walaupun sudah kalah dan gagal menang dalam PRU tahun 2022, BN tetap tidak menganggap kebiasaan politik mereka itu sebagai kesalahan.
Sebab itu apabila timbul isu Tabung Haji, mereka tetap tidak mengakui kesalahan korupsi. PAS juga turut mempertahankan BN.
Ada penyokong BN berkata, korupsi itu adalah soal individu berkenaan dan tidak membabitkan parti politik. Tetapi antara pelakunya pula berkata, apa yang mereka “sakau” bukan untuk diri mereka secara peribadi, tetapi untuk parti dan “rakyat.” Begitulah kuat sindrom penafian.
Dalam kes Tabung Haji, apa yang berlaku bukanlah satu kesalahan kerana pemberian mereka adalah untuk “kebajikan rakyat”. Sebenarnya mereka telah mengubah perspektif dan persepsi mereka terhadap korupsi supaya ia tdak bersalah. Justifikasi dicipta supaya ia menjadi justifikasi bahawa sesuatu perbuatan salah itu jadi benar.
Maka korupsi bukan hanya bentuk wang dan pemberian saham. Tetapi menaja pemergian haji secara percuma, memberi hibah yang berdasarkan “creative accounting” dan malah memberi giliran haji yang bukan haknya adalah kesemuanya boleh dijadikan bahan korupsi. Begitu juga dengan memberikan sijil geran tanah dan meluluskan projek di luar peruntukan adalah juga boleh disyaki sebagai sebahagian daripada perbuatan korupsi.
Tetapi tentulah banyak penyokong BN yang menafikan pemahaman sedemikian. BN adalah sebuah jentera yang efisien untuk memberi kekayaan kepada bagi sesetengah individu. Bagi mereka, apa yang penting bukanlah negara atau rakyat. Itu adalah konsep yang terlalu abstrak. Apa yang penting ialah keluarga sendiri. Jika kemewahan yang diperoleh boleh menyenangkan tujuh keturunan sendiri, ia mendatangkan manfaat, walaupun satu dunia menyifatkannya sebagai “sakau “
ZIN MAHMUD wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/57fca4d03a591d0e0ec88aaa7db4e561.jpg)
