KOLUM | Kebangkitan politik Dayak di Sarawak
KOLUM | Suka tidak suka, lambat laun, orang Dayak akan menuntut supaya mereka patut juga berpeluang memegang jawatan premier. Ini kerana mereka merupakan penduduk paling besar peratusnya berbanding kaum lain di Sarawak.
Kebangkitan mereka pada PRN Sarawak kali ini dilakukan oleh Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang muncul sebagai pencabar utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah negeri sebelum DUN dibubarkan.
GPS tentunya adalah sebuah gabungan yang kuat dengan parti utamanya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah memerintah Sarawak sejak penubuhannya dengan penggabungan Parti Bumiputera Sarawak dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Parti Pesaka) pada 1973 iaitu 53 tahun lalu.
Ia merupakan gabungan parti Melayu/Melanau dan Dayak.
Sememangnya sukar bagi PBDS untuk melawan PBB, tetapi tuntutan supaya Dayak dapat menjadi premier dan berperanan lebih besar dalam kerajaan akan terus menjadi tekanan ke atas parti memerintah.
Kaum Dayak bukanlah majoriti. Jumlah penduduknya adalah kira-kira 40 hingga 43 peratus penduduk Sarawak, tetapi adalah terbesar berbanding Melayu (22.9 peratus) dan Melanau (4.9 petatus).
Dayak dianggotai oleh suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. Maka Iban merupakan 28.8 petatus ke 28.9 petatus penduduk Sarawakl, diikuti Bidayuh (8.0 peratus) dan Orang Ulu serta suku kaum Dayak lain (6.3 peratus).
Maknanya Iban adalah suku kaum terbesar dalam kalangan Dayak. Dengan 28.8 peratus, ia lebih besar berbanding Melayu/Melanau iaitu 27.8 peratus.
Tetapi dalam sejarah Sarawak merdeka, jawatan ketua menteri adalah lebih lama disandang oleh ahli politik Melayu/Melanau dengan permulaannya oleh Iban.
Mentadbir selama tujuh tahun
Ia bermula dengan Stephen Kalong Ningkan selama tiga tahun (1963 hingga 1966). Dia merupakan pengasas Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP). Ia adalah anggota Perikatan Sarawak.
Dia seorang Iban.
Kemudian diikuti oleh Tawi Sli dari Parti Pesaka yang menjadi ketua menteri selama empat tahun (1966 hingga 1970). Sebelumnya dia merupakan anggota SNAP.
Dia juga seorang Iban.
Ketua Menteri Sarawak yang ketiga ialah Abdul Rahman Ya’kub yang mentadbir selama 11 tahun (1970 hingga 1981). Dia dari PBB. Dia seorang Melanau.
Seterusnya ialah Taib Mahmud selama 33 tahun (1981 hingga 2014). Taib juga dari PBB dan orang Melanau.
Taib kemudian digantikan dengan seorang lagi tokoh dari PBB iaitu Adenan Satem yang mentadbir selama tiga tahun (2014 hingga 2017). Adenan orang Melayu.

Premier sekarang, Abang Johari Openg dari PBB memimpin sejak 2017 – iaitu sudah sembilan tahun. Abang Johari dari PBB dan orang Melayu.
Justeru apabila dikira dari 1963, secara keseluruhan ahli politik Dayak memimpin Sarawak selama tujuh tahun sementara pemimpin Melayu/Melanau memerintah selama 45 tahun.
Sama ada Dayak atau Melayu/Melanau, mereka adalah sebahagian daripada bumiputera Sarawak. Sementara bukan bumiputera iaitu Cina adalah 23.3 petatus lebih daripada Melayu.
Namun begitu di Sarawak, bumiputera dibahagi kepada dua iaitu bumiputera Muslim dan bumiputera bukan Muslim. Bumiputera Muslim terdiri daripada Melayu dan Melanau, manakala bumiputera bukan Muslim adalah orang Dayak.
Perlu diingat kategori kaum ini adalah konstruk politik iaitu suatu konsep rekaan untuk mencapai suatu matlamat politik. Dari segi positif, matlamat politik bertujuan untuk mewujudkan kestabilan negeri/negara dan memberikan kemakmuran kepada rakyat.
Dari sisi negatif pula, matlamat politik adalah kekuasaan, dominasi dan eksploitasii untuk golongan elit.
Tetap mewakili seluruh orang
Sebelum kewujudan negara bangsa (nation state), tidak ada kategori kaum majoriti atau minoriti. Ditambah pula tidak ada sesiapa menghitung berapa jumlah penduduk dan melakukan banci demografi.
Maka tidak timbul siapa majoriti atau minoriti.
Ia juga bermaksud bahawa golongan minoriti boleh nemerintah kaum majoriti jika mereka menguasai politik sama ada secara pujukan atau paksaan kekerasan. Rakyat merupakan subjects (golongan yang dikuasai) oleh rulers (penguasa).
Apabila ada konsep demokrasi, maka timbul soal majoriti dan minoriti. Ini kerana majoriti dalam parlimen akan menentukan siapa yang menjadi kerajaan.
Sungguhpun kerajaan wajar melayani kehendak majoriti tetapi ia melindungi hak dan kepentingan minoriti. Itulah prinsip demokrasi.
Tetapi sisi gelapnya ialah kedudukan itu membawa kepada perkiraan kaum menurut majoriti dan minoriti. Hal itu kerana anggota parlimen mewakili kawasannya. Dari majoriti pengundinya, dia memenangi kawasan berkenaan.
Maka dalam kawasan parlimen, walaupun seseorang ahli dewan itu dipilih oleh majoriti, dia tetap mewakili seluruh penduduk di kawasannya tidak kira sama ada golongan majoriti atau minoriti.
Juga tidak kira sama ada mereka itu pengundi dia atau tidak.
Bagi demokrasi yang dapat melaksanakan kehendak sebenar rakyat, maka ia tidak menghiraukan soal perbezaan kaum. Maknanya pengundi sepatutnya memilih wakilnya tanpa mengira kaum.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/12/97876c916efd21f0916f6ea7fef7f4d2.jpg)
Sebaliknya seseorang calon dinilai menurut integriti, kebolehan dan programnya.
Tetapi tentulah perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Dalam pilihan raya selama ini pun, soal kaum tetap diambil kira.
Maka apa yang berlaku dalam PRN Sabah, Johor, Negeri Sembilan, dan Melaka, soal perkauman dijadikan bahan kempen.
Dalam PRN Sabah, naratifnya ialah tolak parti nasional sementara di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka adalah penyatuan orang Melayu dengan menentang gabungan parti pelbagai kaum.
Maka dirumuskan bahawa kaum majoriti mestilah mendominasi. Justeru di Semenanjung Malaysia, kaum majoriti ialah Melayu, maka ia patut mendominasi.
Maka apabila prinsip itu digunakan di Sarawak, maka kaum Dayak patut memperoleh lebih banyak tempat berbanding orang Melayu dan Melanau.
Tetapi sebenarnya sebagai sebuah negara bangsa yang mengamalkan sistem demokrasi, tidak ada kaum yang patut mendominasi kerana semua warga adalah setaraf dan mempunyai hak serta tanggung jawab yang sama.
Parti mewakili bumiputera, bukan bumiputera
Pada asasnya Persekutuan Tanah Melayu dibina atas tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Ia dicerminkan oleh kemenangan Perikatan yang menggabungkan Umno, MCA dan MIC bagi mewakili Melayu, Cina dan India.
Apabila British mencadangkan penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura bagi menyelamatkan pulau itu daripada jatuh kepada komunis, Tunku Abdul Rahman keberatan kerana gabungan itu akan menjadikan Melayu minoriti.
Maka British mengemukakan gagasan Grand Design yang menggabungan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah dengan mengutarakan konsep bumiputera yang turut disertai oleh Melayu.
Maka kaum bumiputera merupakan majoriti apabila dibandingkan dengan kaum Cina dan India.
Tunku menerima gagasan Grand Design itu yang kemudian dinamakan Malaysia apabila mendapati Indonesia membantu komunis di Sarawak.
Maka dirasakan jika Indonesia mengambil alih Sarawak, ia merupakan ancaman bagi Tanah Melayu.
British kemudian mengeluarkan Brunei dari projek itu dan Malaysia hanya terdiri daripada Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah yang digabungkan melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dari segi parti, Tanah Melayu diwakili oleh Perikatan, Singapura oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), Sarawak oleh Perikatan Sarawak, dan Sabah oleh Perikatan Sabah.
Pada 1963, Perikatan Sarawak terdiri daripada SNAP, Parti Pesaka, Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa), Parti Negara Sarawak (Panas) dan Persatuan Cina Sarawak (SCA).
Apabila BN ditubuhkan pada 1974, BN Sarawak pula terdiri daripada PBB yang mewakili bumiputera dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mewakil kaum Cina.
Dalam PRU 2018 pula, BN Sarawak terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan SUPP.
Dengan kekalahan BN, maka BN Sarawak terbubar apabila parti-parti terbabit bergabung di bawah GPS.
GPS kemudian menyertai kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan dapat menuntut supaya butiran MA63 dilaksanakan.
Ada banyak kelebihan buat Sarawak
Ekotan kejatuhan kerajaan PH, GPS menyertai kerajaan pimpinan Bersatu di bawah Muhyiddin Yassin, dan kemudiannyq kerajaan pimpinan BN di bawah Ismail Sabri Yaakob.
Selepas PRU 2022, GPS menyertai kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim dengan satu daripada jawatan timbalan perdana menteri disandang oleh pemimpin GPS.
Ternyata PBB terus-menerus berada dalam kerajaan persekutuan sejak penubuhannya pada 1973.
PBDS pula adalah parti yang fokus pada soal perwakilan Dayak, hak-hak peribumi dan autonomi Sarawak. Presidennya ialah Dr John Brian Anthony.
Namun begitu, PBDS yang asal bergerak dari 1983 hingga 2004. Ia diasaskan oleh Leo Moggie Irok sebagai pecahan daripada SNAP.
Ia dibubarkan pada 2004 dengan penubuhan Parti Rakyat Sarawak (PRS). Pada 2013 ia didaftarkan semula sebagai PBDS Baru dan kemudian perkataan “baru” digugurkan.
Dalam PRN kali ini, dijangka PBDS akan bertembung dengan PBB di kawasan-kawasan Dayak.
Sesungguhnya kekalahan BN pada PRU 2018 telah membuka ruang besar kepada Sarawak dan Sabah untuk menuntut haknya dalam MA63. Walaupun kemudian kerajaan PH tumbang pada 2020, suasana politik sudah berubah dan ia tidak akan berpatah balik.
PH memang tidak dapqt membentuk kerajaan sendiri selepas PRU 2022 tetapi kerajaan Madani telah memberi banyak kelebihan kepada Sarawak.
Akhirnya nanti kepentingan-kepentingan rakyat seperti yang turut dituntut oleh kaum Dayak akan juga dipenuhi sama ada melalui PBDS atau tidak.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/890/MistyHeaddressinOrnateMirror_695142.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.