Negeri yang dikenali sebagai tanah serendah sekebun bunga mempunyai tarikannya yang tersendiri. Tradisi setempat yang sentiasa dijaga rapi, makanan tradisi dengan sentuhan istimewa serta alam semula jadi yang cantik molek membuat setiap pengunjung sentiasa terkenang-kenang akan negeri di Pantai Timur ini.  

Keunikannya Kelantan turut terserlah melalui seni budaya yang diwarisi turun-temurun dan mencerminkan identiti serta jati diri masyarakatnya. Keunikan persembahan dikir barat, kehalusan seni Mak Yong, serta keindahan wayang kulit Kelantan merupakan khazanah budaya yang sukar ditemui di negeri-negeri lain.

Tidak ramai yang menyedari bahawa untuk sampai ke negeri indah ini sebenarnya cukup mudah. Anda hanya perlu terbang ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), yang dihubungkan dengan penerbangan dari Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching, termasuk laluan antarabangsa dari Singapura. 

Dengan rangkaian penerbangan yang fleksibel ini, percutian ke negeri ini terasa lebih mudah dan memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung untuk datang dan menikmati keindahannya. Pengalaman ini bermula seawal langkah pertama anda menjejakkan kaki di bumi Kelantan.

Aroma kuih tradisi unik, akok lembut yang baru diangkat, jala mas dan buah tanjung yang manis tersedia, serta deretan serunding yang menjadi buah tangan wajib, menyambut kedatangan anda seperti jemputan mesra ke dalam kehidupan tempatan. Budaya Kelantan tetap asli, namun pintu masuk negeri ini kini lebih teratur, moden dan selesa, membuat langkah pertama anda di sini lebih menyenangkan.

Sambutan Mesra Seawal Ketibaan

Perubahan di LTSIP jelas terasa sebaik sahaja melangkah keluar dari pesawat. Ruang terminal kini lebih lapang, suasananya lebih moden dan operasinya tetap cekap. Sentuhan seni bina tradisional yang disepadukan dengan elemen seni Melayu Islam Kelantan yang unik memberikan identiti tempatan yang tersendiri pada setiap penjuru. Terminal baharu ini kini tiga kali lebih luas dan pelbagai kemudahan turut dipertingkatkan untuk perjalanan yang lebih lancar:

  • Terminal kini berkeluasan 36,000 m², meningkat daripada 12,000 m² sebelum ini, menyediakan ruang yang lebih luas dan selesa kepada para pengguna

  • Ruang pendaftaran yang lebih luas, dilengkapi dengan 26 kaunter (sebelumnya hanya 15), untuk syarikat penerbangan 

  • Susun atur perlepasan dan ketibaan yang berasingan bagi meningkatkan kelancaran aliran penumpang

  • Laluan khas teksi dan e-hailing, balai bomba dan penyelamat yang baru, dan 11 lot letak pesawat tambahan (sebelumnya hanya 5)

  • Tempat letak kereta bertingkat kini menyediakan 1,300 lot (berbanding sebelumnya hanya 350) dan mengimplementasikan sistem pembayaran tanpa tunai demi kemudahan para pengunjung

  • Kapasiti penumpang tahunan dijangka meningkat kepada 4 juta dari 1.5 juta sebelum ini

Dengan kemudahan dan wajah baharu di LTSIP, perjalanan ke Kelantan kini lebih lancar dan selesa, menjadikannya masa yang tepat untuk merancang kunjungan anda.

Motif seni Melayu Islam Kelantan pada siling dan ruang legar yang luas menjadikan pengalaman check‑in di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra lebih menyenangkan.

Dari Serantau, Terus ke Kelantan

Dengan terminal dan kemudahan baharu yang mampu menampung 4 juta penumpang, LTSIP kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk menyokong pelancongan dan perjalanan domestik, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan. 

Penerbangan tersedia ke LTSIP dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, manakala Subang menawarkan pilihan berlepas yang lebih dekat dengan pusat bandar. Dari utara, selatan dan Borneo, perjalanan ke Kelantan juga mudah melalui laluan terus dari Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching. Untuk rangkaian antarabangsa, LTSIP juga menerima penerbangan dari Singapura dan dijadualkan untuk disusuli dengan laluan baharu dari Jakarta. Rangkaian ini memperkaya kemudahan perjalanan, sekali gus memudahkan perancangan shortcation atau kunjungan spontan.

Perlepasan Domestik kini tampil lebih moden dan teratur, memudahkan perjalanan anda dari awal.

Pulau Perhentian Kini Lebih Dekat Melalui Tok Bali

Bagi penggemar pulau, inilah berita yang dinanti-nantikan. Mulai Mac 2026, laluan baharu dari Jeti Pelancongan Tok Bali ke Pulau Perhentian akan menjadikan perjalanan lebih cepat dan mudah. Setibanya di LTSIP, pengunjung boleh meneruskan perjalanan ke Jeti Pelancongan Tok Bali dengan menaiki teksi atau e-hailing dari lapangan terbang sebelum menaiki bot ke Pulau Perhentian. Laluan ini dijangka menarik lebih ramai pengunjung, bukan sahaja dari Kelantan, tetapi juga dari negeri-negeri sekitar.

Sesuai untuk percutian santai atau weekend getaway, pengunjung boleh memanfaatkan masa di Kota Bharu dengan mencuba nasi kerabu atau ayam percik serta berjalan‑jalan di Pasar Siti Khadijah sebelum meneruskan perjalanan ke Tok Bali untuk menaiki bot ke Pulau Perhentian dan menikmati keindahan pantai.

Kemeriahan Sepanjang Tahun di Kelantan Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Selain menikmati keindahan pulau, Kelantan juga penuh dengan aktiviti menarik sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026. Pelbagai program budaya dan pelancongan menanti anda, memastikan setiap pengunjung membawa pulang pengalaman unik. 

Terokai keunikan warisan Kelantan. Hayati persembahan tarian dan muzik tradisional yang mengagumkan, saksikan pameran seni dan kraf tangan yang menceritakan kisah turun-temurun masyarakat setempat, atau rasai sendiri keenakan hidangan tempatan. 

Bagi penggemar kulinari, anda boleh cuba pengalaman istimewa belajar menyediakan nasi kerabu atau kuih tradisional bersama tukang masak berpengalaman. Bukan sahaja menghiburkan, malah pendekatan ini juga berperanan dalam memastikan warisan budaya terus terpelihara.

Pengalaman di Kelantan tidak berhenti di bandar sahaja. Jejaki bunga Rafflesia di Dataran Tinggi Lojing, terokai kawasan pesisir dan komuniti baharu di Zon Pelancongan Terpadu Geting, atau nikmati panorama indah Sungai Semerak dari Jeti Pelancongan Tok Bali sambil melihat kehidupan tempatan di sepanjang tebing sungai.

Mari Singgoh Kelate

Belum pernah mengunjungi Kelantan? Inilah masa terbaik untuk melawat dan merasai sendiri pesonanya. Anak Kelantan pula, jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri wajah baharu pintu masuk negeri sambil menikmati pengalaman yang akan membuat anda sentiasa rindu pada negeri indah ini. 

Dengan terminal LTSIP yang kini lebih luas dan moden, pengalaman anda untuk menghayati keunikan negeri Kelantan akan menjadi lebih selesa. Untuk percutian demo akan datang, mulakan perjalanan melalui LTSIP, gerbang keindahan Kelate.


Siri Memacu Transformasi ini adalah hasil kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).