Media peralatkan isu web-KeADILan
Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, media arus perdana melompat satu demi satu secara besar-besaran dalam isu terbaru antara laman web reformasi dan dua pemimpin kanan Parti KeADILan Nasional.
Sejak malaysiakini melaporkan berita tersebut pada Rabu lalu, hanya pada Jumaat, sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkannya.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia dengan penuh semangat menyiarkan berita itu mulai Sabtu dan kemudiannya menjadi lead story bagi Berita Minggu dan Mingguan Malaysia semalam.
Akhbar The Star buat empat hari berturut-turut melaporkannya. Sementara New Straits Times hanya menyiarkan tulisan Shamsul Akmar dalam kolum 'Saturday Notes.'
Tetapi barang kali akhbar tidak berminat lagi menyiarkan pandangan pengendali web yang menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dengan ungkapan "Mahathirisme" dan budaya "Pak Angguk" (istilah asal pengendali web reformasi) dalam Umno dan Barisan Nasional.
Kenyataan pengendali web reformasi ini sepatutnya menjadi susulan terhadap isu yang begitu "besar" dan "menggemparkan" - kalau tidak, masakan diletak di muka depan?
Sama-samalah kita perhatikan dalam akhbar arus perdana esok. Apakah mereka, buat sekian kalinya, bersedia menelanjangkan pekungnya yang sebenar?
Selalunya, beginilah sikap tidak seimbang media arus perdana di negara ini. Misalnya, tidak pernah ada laporan tentang pengharaman majalah Detik , walaupun tekanan daripada kumpulan wartawan luar negara begitu serius.
Tidak ada media yang melaporkan pemilihan Dr Mahathir sebagai "musuh yang paling keras terhadap akhbar" atau the worst enemies of the press - dan itu sahaja sudah cukup menunjukkan betapa bebasnya media arus perdana di negara ini!
Misalnya lagi, tidak ada laporan tentang perbicaraan Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez, yang mendedahkan gelagat polis yang lucah dan gila seks. Malah, wartawan-wartawan arus perdana lebih sibuk berduyun-duyun mendengar perbicaraan artis Shiela Majid!
Selain penapisan sendiri (self-censorship), nampaknya nilai berita atau news value dikategorikan daripada kacamata pihak berkuasa juga.
Penapisan sendiri berlaku lebih kemudian, apabila pemberita, penyunting dan pengarang mengolah maklumat berita (yang telah diperolehi) mengikut kehendak dasar-dasar tidak bertulis akhbar mereka.
Tetapi nilai berita selalunya menjadi asas awal sebelum mengejar berita. Ini bermakna daripada peringkat awal lagi, pemberita dibayangi ketakutan untuk melaporkan keadaan sebenar.
Ketakutan ini wujud akibat satu jaringan faktor yang kompleks - tetapi boleh sahaja diatasi dengan mudah melalui sedikit keberanian, kedegilan dan harga diri.
Hakikatnya, media bebas datangnya daripada jiwa yang bebas, termasuklah "jiwa yang tenang" kerana gaji cukup. Tentunya soal wang tidak menjadi isu bagi wartawan arus perdana, itulah juga agenda utama Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).
Akibat manipulasi yang melampau, pembangkang takut menghadapi bayang-bayang diperalatkan oleh media arus perdana. Penyokong reformasi dengan seimbas lalu menyalahkan pengendali-pengendali web apabila isu itu dibesar-besarkan oleh media perdana, seolah-olah mereka menjadi alat Perdana Menteri pula.
Malah, malaysiakini juga disindir sebagai "tidak bijak" memberitakan perkembangan ini.
Apatah lagi beberapa hari menjelang pilihan raya kecil antara KeADILan dengan Barisan Nasional di Telok Kemang. Penyokong reformasi yang setuju tindakan laman web reformasi itu pun akhirnya berhujah, "masanya (web itu bertafakur) tidak sesuai."
Isu yang lebih sah dan mendasar yang tersirat di sebalik protes itu tidak dibangkitkan tetapi politik dilihat dari dua kem permusuhan yang besar, satu kerajaan Barisan Nasional dan pembangkang Barisan Alternatif.
Anda sama ada boleh menyokong BN atau BA - walaupun kedua-duanya menunjukkan kedunguan dan ketidakpekaannya terhadap isu rakyat.
Jangan sekali-kali berada "atas pagar" atau berlagak "bebas" macam malaysiakini , kononnya.
Apabila malaysiakini lebih banyak menerbitkan berita, kenyataan atau analisis yang mengkritik kerajaan atau propembangkang, dengan mudah sahaja pihak-pihak tertentu melihat laman web ini "propembangkang" pula.
Seolah-olahnya akhbar atau penerbitan harus sentiasa menjilat pemerintah atau menyembunyikan isu demi menjaga hati tuan-tuan politik, sama ada kerajaan atau pembangkang. Seperti juga badan penguatkuasaan yang hanya membawa ke mahkamah ikan-ikan bilis tetapi melupakan jerung yang ganas.
Media seharusnya bertindak secara bebas, walaupun lingkungannya dianggap tidak bebas, seperti negara ini. Berita, idea, analisis dan hujah bermain dalam jiwa serta minda seseorang - jiwa dan minda yang tidak merdeka menghasilkan berita, idea, analisis dan hujah yang terkongkong.
Lalu, satu-satunya keberanian media arus perdana, khususnya yang berbahasa Melayu, ialah menyerang sebelah pihak dan menutup mata daripada sebelah pihak. Nasiblah, laman web dan KeADILan!

