Sejak kabinet baru - yang agak tertangguh - dibentuk pertengahan Disember lalu, kerajaan Barisan Nasional menunaikan 'janjinya' berdasarkan 'mandat' dari pengundi untuk mengganggu kebebasan media. Mangsa pertama ialah majalah politik dua minggu sekali, Detik , apabila Kementerian Dalam Negeri tiba-tiba menarik kembali keputusannya pada 9 Disember untuk memperbaharui permit.

Beberapa hari berikutnya, pada minggu yang sama, mangsa keduanya Harakah - dirampas di Kuala Lumpur dan di beberapa buah negeri, termasuk di Terengganu. Selepas itu isu rampasan Harakah dan amaran kepada empat penerbitan lain menjadi isu nasional untuk hidangan menyambut Hari Raya.

Korban seterusnya ialah Pengarang Satu tabloid milik PAS itu, Zulkifli Sulong, dan pemilik syarikat percetakannya yang ditahan dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan.

Walaupun suasan itu memerlukan ketegasan dan kesatuan wartawan tetapi kumpulan wartawan di negara ini diam membisu. Bagaimanapun, enam organisasi wartawan antarabangsa menyatakan bantahannya kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Sebenarnya tidak ganjil apabila pertubuhan wartawan seperti Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Persatuan Wartawan Melayu membisu dalam hal ini. Tetapi agak ganjil apabila kumpulan wartawan dari arus alternatif juga tidak menyatakan bantahan yang serius. Atau, mereka dilihat 'lembab' menyatakan bantahan rasmi dan terbuka.

Salah satu puncanya ialah kumpulan wartawan 'arus alternatif' - sebagai perbezaan dengan wartawan 'arus perdana' - tidak pernah wujud dalam bentuk sebuah pertubuhan rasmi. Ada usaha menggerakkan Persatuan Karyawan Prihatin (Karyawan) tetapi usaha itu nampaknya diam begitu sahaja. Lebih ganjil lagi, Zulkifli merupakan Bendahari jawatankuasa penaja Karyawan itu sendiri!

Apa pun tujuan dan strategi penubuhan Karyawan beberapa bulan lalu, badan tidak rasmi itu harus bersuara. Falsafah utamanya ialah untuk membela karyawan, termasuk wartawan, penulis, penerbit, sasterawan, kartunis dan jurufoto. Tujuan utama kewujudan Karyawan bukan untuk diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan - memandangkan kita faham benar sekatan-sekatan ke atas kebebasan berpersatuan, selain kebebasan akhbar dan kebebasan berhimpun.

Sungguh ironi, menghiris hati dan tidak masuk akal jika Bendahari kepada jawatankuasa penaja badan itu tidak dibela dengan serius dan berani.

Namun, soal utamanya ialah komitmen semua karyawan untuk berkumpul dengan pantas bagi mengambil satu pendirian yang tegas dan kemudiannya menyusun satu gerak kerja yang bermakna dalam suasana tertekan itu. Apa-apa organisasi pun tidak mengapa, malah kumpulan individu pun sudah cukup kuat, yang penting karyawan harus bersatu membantu rakan-rakan wartawan.

Hari ini, mereka terkena tekanan. Esok mungkin hari kita pula. Masanya sudah tiba untuk bertindak segera.