Apabila nama Lindsay Lohan diumumkan berkolaborasi dengan Duran Duran, ia menimbulkan seribu tanda tanya di kalangan peminat - bagaimana hal sejanggal itu boleh berlaku?

Vokalis kumpulan pop terkenal 1980-an itu, Simon Le Bon kemudian tampil memberi penjelasan.

“Saya bertemu Lindsay di New York 10 atau 12 tahun lalu,” kata Simon ketika ditemui di Anugerah Silver Clef, tempat mereka dianugerahkan dengan pencapaian seumur hidup baru-baru ini.

Kata Le Bon, ia bermula dengan satu teguran: “Oh! Saya pergi ke majlis pakaian mewah malam tadi sama seperti kamu!” dan sejak itu mereka mula berkawan.

"Dan apabila kami mempunyai satu kekosongan dalam album untuk lagu Danceophobia , kami terpaksa memikirkan siapa yang layak untuk melakukan vokal ini.

Tetap berkarisma

"Ketika itulah nama Lindsay berlegar di fikiran kerana dia berada di tempat kami ketika itu," katanya.

Walaupun berkawan lama, Le Bon berkata, tidak mudah untuk memujuk bintang Mean Girls itu membuat rakaman bersama Duran Duran, malah proses untuk mendapatkan persetujuan itu mengambil tempoh hingga sebulan.

“Saya perlu memandu hingga ke apartmen Lindsay di Mayfair, memaksanya masuk ke kereta dan membawa dia ke tempat lain,” katanya.

Walaupun Lindsay tidak lekang dari kontroversi, bagi Le Bon wanita itu tetap berkarisma menjalankan tanggungjawabnya.

Sudah bertahun Linsdsay tidak mengeluarkan karya muzik, tetapi Duran Duran berjaya memujuk wanita itu untuk menghasilkan lagu bersamanya.

Duran Duran antara kumpulan Inggeris yang berjaya ketika era 1980-an dan menerima pelbagai anugerah seperti Grammy.

Mereka dijadual melancarkan album Paper Gods pada 18 September ini.

Bulan lalu, band berkenaan mengumumkan kemunculan album ke-14 itu dengan menampilan artis undangan seperti Janelle Monae, Kiesza, bekas pemain gitar Red Hot Chili Peppers, John Frusciante dan Lindsay.