Ramadan lalu dia melancarkan album Cinta Sejati , lalu setahun kemudian Gabenor Sumatera Barat, Irwan Prayitno muncul dengan album kedua berjudul Cinta Sesama .

Mengandungi 10 lagu keagamaan, Irwan menggunakan muzik dan lagu untuk menyampaikan mesej kasih sayang dalam berdakwah.

"Saya mahu mengajak masyarakat hidup lebih baik secara Islami," katanya kepada media semalam.

Dalam Cinta Sesama , enam daripada lagu yang terkandung di dalamnya adalah lagu baru, manakala selebihnya diambil daripada album pertama.

Ditanya bagaimana dia mampu mencipta lagu walaupun berkhidmat sebagai gabenor, Irwan berkata, penciptaan karya berlaku di waktu lapangnya.

"Saya anggap proses penciptaan ini adalah sumber inspirasi dan semoga menjadi motivasi kepada generasi muda.

"Asalkan berusaha sungguh-sungguh, semua keinginan insya-Allah berhasil," katanya.

Irwan bukanlah pegawai tinggi kerajaan yang pertama aktif dalam seni, terutama penciptaan lagu.

Sebelum ini Susilo Bambang Yudhoyono sendiri menghasilkan album ketika masih bertugas sebagai Presiden Indonesia.

Menceritakan albumnya, Irwan berkata, salah satu lagu yang digemarinya ialah Kau Istriku yang digubah khusus untuk isterinya, Nevi Zuairina.

"Ia dihasilkan ketika Nevi mengerjakan umrah tahun lalu," katanya.