Pencuri lagu Madonna dihukum penjara
Seorang lelaki yang pernah menghadiri uji bakat rancangan televisyen terkenal di Israel dijatuhi hukuman penjara dua bulan selepas disabitkan kesalahan mencuri dan menjual lagu yang belum diterbitkan bintang pop antarabangsa Madonna.
Adi Lederman ditahan awal tahun ini namun kisahnya hanya disiarkan media antarabangsa baru-baru ini.
Dia ditahan selepas mengaku bersalah - dan merayu - atas tuduhan menggodam komputer pihak yang bekerja dengan penyanyi berusia 58 tahun itu bagi mencuri sebelum menjual lagunya.
Lederman yang berusia lewat 30-an dan menetap di Tel Aviv turut dikenakan denda AS$3,900 (RM14,788).
Hakim memutuskan hukuman yang relevan harus dikenakan bagi mengelak kejadian penggodaman berulang.
Beberapa lagu dari album terbaru Madonna, Rebel Heart , ‘bocor’ dalam talian tahun lalu.
Kejadian itu membuatkan Madonna menggesa peminat tidak mendengar salinan curi yang dikeluarkan dengan menulis dalam akaun Instagramnya: “Hak asasi saya sebagai manusia dan artis diceroboh.”

