Pelawak dan penerbit Afdlin Shauki menggesa rakyat negara ini agar tidak mengambil langkah terburu-buru susulan pergaduhan berkumpulan di Plaza Low Yat semalam.

Beliau memuat naik status berserta rakaman videonya dalam akaun Facebook malam tadi yang mengandungi nasihat untuk meredakan kemarahan dalam isu itu.

“Minta tolong jangan jadikan isu di Low Yatt satu isu perkauman. Ini kes jenayah dan pihak polis ada bersedia untuk selesaikan hal ni.

“Bulan Ramadan ni banyak bawak bersabar wahai sahabat sahabat Islamku. Cerminkan akhlak yang terbaik bulan ini,” tulisnya.

Menurut Afdlin yang juga pelakon utama filem Papadom, individu yang melakukan kesilapan pasti akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Yang buat tak betul akan ke muka pengadilan. Percayalah. Jangan ikut nafsu. Ada jalan penyelesaian yang lebih baik dari itu,” katanya.

Berbahaya

Bagi Afdlin, tindakan membuta-tuli hanya akan meletakkan negara berada dalam keadaan ‘parah’ dan keadaan ini dilihat amat berbahaya untuk keharmonian rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum.

“Kita semua rakyat Malaysia. Kita semua adalah hamba Tuhan. Jadi marilah bertindak seperti kita ada Tuhan. Jangan biar amarah kita menghancurkan keharmonian negara ini,” katanya.

Komen yang dimuat naik Afdlin itu kini mencecah 7,523 'like' dan dikongsi hingga 1,180 kali selain mendapat 661 komen dari pengguna.

Sementara menantikan keputusan pihak berkuasa mengenai punca kejadian, kes yang mendapat liputan meluas media itu dikatakan terbahagi kepada dua versi.

Versi pertama mendakwa kejadian berpunca akibat dalam kalangan suspek tidak berpuas hati apabila salah seorang rakan mereka ditahan oleh pihak keselamatan selepas didakwa mencuri  telefon bimbit di premis terbabit sebelum diserahkan kepada polis.

Manakala versi lain pula mengatakan si suspek didakwa teraniaya kerana membeli produk palsu dan apabila dia menuntut haknya, dia dipukul.

Plaza Low Yat memang terkenal sebagai syurga produk barangan elektronik.