Filem Hollywood terkenal, Rambo - bakal menemui peminat sekali lagi dengan menampilkan pelakon legendanya Sylvester Stallone.
Kali ini, melalui Rambo V , Stallone akan beraksi untuk memerangi musuh yang terdiri daripada anggota kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) di Timur Tengah.
Menurut Stallone, beliau kini sedang menulis jalan cerita manakala produksi penggambaran telah mencari lokasi sesuai dengan latar tempat seperti di Syria dan Iraq.
Pelakon berusia 68 tahun itu mengumumkan rancangan pembikinan Rambo V ketika menghadiri mempromosikan siri filem Rocky berjudul “Creed” di majlis Comic-Con, San Diego, minggu lalu.
"Kami bekerjasama dengan penduduk setempat untuk membantu menampilkan filem Rambo yang paling 'realiti' berbanding siri sebelum ini," katanya seperti dilaporkan Washington Times .
Stallone bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keseluruhan Rambo V yang dikhabarkan diberi tajuk Rambo: Last Blood
Sementara itu, Pengusaha Filem Jerman, Splendor Films dalam satu kenyataan Jun lalu mengatakan Stallone akan kembali sebagai John Rambo melalui Rambo V .
"Kali ini ia akan berada di Timur Tengah untuk melawan ancaman terbesar yang dihadapi dunia iaitu ' pengganas global," katanya.
Siri filem itu, walaupun mengecap populariti besar itu sebelum ini, sering dikritik sebagai cuba mengetengahkan propaganda perang Amerika Syarikat.
