Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Farhanna Qismina: Hentikan sebar maklumat tak sahih

Hentikan segala spekulasi yang tidak pasti dan jangan viralkan sesuatu yang belum pasti kesahihannya- itu antara harapan pelakon Elly dan Epit , Farhanna Qismina Supandi.

Kenyataan itu memang ada asasnya.

Dia bersama empat anggota keluarganya baru saja terbabit dalam kemalangan langgar lari awal pagi Syawal lalu.

Kejadian di Jalan Kuching pada Jumaat lalu itu cukup meninggalkan pengalaman hitam buat gadis berusia 18 tahun itu.

Namun ketika ditemui Malaysiakini semalam, Qismina tetap kelihatan cekal biarpun kemalangan itu meragut nyawa kakak kesayangannya, Farhanna Qistina, 21.

Dia ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama ibu saudaranya, Masela Kamarudin.

Kejadian itu memang menyedihkan namum penyebaran tidak diperlukan mengenai insiden itu menjadikan dia lebih sugul.

Kata Masela, ada pihak tidak bertanggungjawab mendakwa kemalangan itu membabitkan pemandu bukan Melayu, malah suspek pula didakwa individu di bawah umur.

Maklumat salah yang semakin viral itu, katanya, dikhuatiri hanya menyemarakkan beberapa isu yang tidak sepatutnya.

Hentikan sebar maklumat palsu

“Ada beberapa individu menyiarkan dalam akaun Facebook mereka kes itu membabitkan bangsa bukan Melayu malah juvana. Kami belum dan tidak dapat mengesahkan perkara itu.

“Perkara ini hanya menyemarakkan isu antara kaum, jadi hentikanlah,” katanya.

Menurut Masela, mereka masih lagi menunggu hasil siasatan polis dan tidak meraikan Aidilfitri kerana berada di HKL sejak 1 Syawal.

Ketika kejadian, kenderaan Proton Perdana yang dipandu ibu Qismina - bersama Qistina, Farhanna Qisrina (adik) dan Fahed Aswad (abang) selain Qismina sendiri - dilanggar dari belakang oleh kereta lain.

Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mereka terbabas, terkeluar dari laluan sebenar sebelum dirempuh sebuah bas persiaran.

 

Last minute shopping jumpa cousin yang tak dapat balik johor beraya esok 😆 #fqs

A photo posted by Farhanna Qismina Supandi (@sweetfarhanna) on

Sementara itu Qismina berkata, mereka dalam perjalanan mengambil baju tempahan dari Kelang kira-kira jam 5 pagi.

“Kemalangan berlaku sekelip mata. Kami tidak tahu apa-apa kerana ia awal pagi.

“Apa yang kami tahu daripada saksi, kenderaan yang melanggar itu jenis BMW, namun ia mungkin hanya penglihatan dari mata kasarnya saja. Kejadian itu berlaku dengan pantas. Kami tidak dapat sahkan kesahihan suspek sekarang,” katanya.

Dapatkan info sahih saja

Menurut Qismina, untuk mengetahui sebarang maklumat mengenai kemalangan itu, orang ramai serta peminat diminta mendapatkannya dari beliau sendiri, terutama melalui Instagram @sweetfarhanna.

Suspek dilaporkan melarikan diri selepas kejadian dan siasatan masih diteruskan berdasarkan serpihan nombor plat yang ditemui di tempat kejadian.

Qistina mengalami beberapa kecederaan dalaman serius dan disahkan meninggal dunia di HKL kira-kira jam 5.45 pagi.

Qisrina, 11, pernah membintangi filem Manisnya Cinta di Cappadocia dan kini masih terlantar di katil hospital bagi menerima rawatan susulan akibat kecederaan dalaman.

Ibu mereka pula perlu membuat pemeriksaan berkala biarpun kaca sudah dikeluarkan dari matanya.

Qistina pernah membintangi beberapa rancangan televisyen dan memegang watak sebagai pelakon tambahan sebelum ini.

Qismina pula terkenal selepas membintangi siri televisyen Hikayat Putera Shazlan sebagai Fasha selain berlakon dalam filem Damping Malam. Dia hanya mengalami kecederaan ringan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS