Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

(i)

Kami - Cikgu Amir, Shamsul, Haizir dan saya - adalah 'generasi Sahara Yaacob. Seorang lagi saya syak juga sebahagian daripada generasi ini tetapi dia bagaikan enggan mengaku, seolah-olah penafian itu secara ajaib akan menjadikan dia lebih muda.

Kami bercerita tentang zaman rock kapak, kaki seluar ketat melampau, aktiviti menoreh kulit bangku bas dan menonton konsert di taman awam.

Shamsul mempunyai kisah ekstra. Dia ada cerita tentang gadis berambut perang. Dia juga ada pengalaman kena kencing ketika menonton konsert di Taman Dr Seenivasagam (Dulu-dulu kami panggil tempat tu Taman D R).

Ia adalah insiden kencing sebenar, maksud saya, bukan 'kencing' dalam tafsiran kontemporari.

Walaupun tidak lagi cukup muda, kami juga belumlah begitu tua. Justeru rasa marah dan berontak itu masih tebal.

Ketika slaid BTN mengenai aktiviti buku indie terbocor, kami berkongsi rasa marah dan geram. Dan kami bertindak untuk bangun melawan dengan cara kami - sehinggalah idea itu 'dibunuh' oleh orang lain yang tidak berasa apa-apa kalau berdiam diri dengan slaid itu.

Seni bukan saja tentang gerak lenggok tarian Ramli Ibrahim atau Mek Jah Deris. Juga tidak terhad kepada kawalan vokal Dayang Nurfaizah dengan Amy Search.

Melawan adalah kerja seni. Tanpa seni melawan, gerakan memperjuangkan nasib artis atau karyawan seni tentu tidak ke mana-mana.

Di situ kepintaran sangat diperlukan. Dan kepintaran tidak akan datang dalam mimpi seperti - misalnya - seorang ustaz mendakwa bertemu Nabi Muhammad.

Kepintaran perlu diikhtiarkan. Kadang-kadang akan memakan masa panjang. Keselurunan proses itu dinamakan pembelajaran.

"Orkid Abdullah tu Melayu atau mat saleh?" tanya Haji Dollah Jones.

Rasanya dia pun kenal juga Sahara Yaacob, tetapi mungkin tak mahu mengakui, atau lebih berminat kepada Orkid.

Najmuddin yang tidak pernah membaca majalah URTV ketika zaman remajanya kemudian berpaling kepada Google. Dia mencari maklumat tentang penyanyi yang dikenang dengan lagu Penawar Rindu itu. Meng-Google juga adalah proses pembelajaran.

Isunya ialah rajin atau malas. Kemudian berani atau tidak untuk melawan dengan seni.

(ii)

Bagaimana Aidilfitri baru-baru ni?

Rasanya tentulah meriah, kecuali anda gagal mengakses Internet sambil mencecah lemang dengan rendang.

Sambil anda bersalam-salaman, anda juga mungkin terdengar iklan di radio yang menggesa kita mengetepikan dulu gajet komunikasi semasa menziarahi saudara-mara dan rakan taulan.

Tujuan nasihat itu memang baik. Ia mahu kita mengukuhkan ukhwah dan bermesra dengan manusia berbanding objek tidak bernyawa.

Cuma elok juga jika kita bertanya - selama mana kita mahu bermusuh dengan teknologi dan menjadikan ia sebagai eskapisme kepada kelemahan sendiri?

Aidilfitri bukan sekadar kemeriahan menyambut 1 Syawal sebaliknya mengimbau kenangan. Kerana itu semua lagu raya hanya akan menjadi halwa telinga majoriti kita selepas dicipta dan didendangkan bertahun-tahun lamanya.

Dalam keadaan begitu, bagus juga kita mengabadikan detik Aidilfitri 2015 untuk dikenang-kenang pada 2020, misalnya.

Dengan apakah kenangan itu boleh diabadikan? Takkan dengan radio, sebaliknya tentulah dengan gajet yang sesuai. Dengan iPhone 6 contohnya.

Pada akhirnya, hidup tetap adalah pilihan, seperti ketika anda memilih lauk-pauk ketika makan tengah hari, atau memilih baru raya bernilai RM180 atau RM800 sepasang.


AL-ABROR MOHD YUSUF anggota redaksi Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS