Tetap berdoa negara kekal aman dan stabil, naluri Nassier Wahab tersentuh apabila mengetahui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digugurkan daripada kabinet Malaysia akhir bulan lalu.

“Sedih sangat apabila dapat tahu dia diberhentikan, kerana beliau sudah ibarat seperti keluarga sendiri pada saya," katanya kepada Malaysiakini .

Menurut Nassier dia mengenali Mohd Shafie sejak sekian lama, iaitu ketika di bangku sekolah, manakala Shafie belum dilantik menjadi menteri.

Ketika itu Mohd Shafie yang dikenali Nassie hanyalah seorang ahli politik dari Sabah.

Harap tetap stabil

Penyanyi yang berasal dari Kedah itu turut mendoakan agar yang terbaik dikurniakan Allah buat Mohd Shafie dan keluarganya dalam menghadapi 'dunia baru' selepas terbuang daripada barisan menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  pada 28Julai lalu.

“Saya doakan Datuk Shafie yang terbaik. Mungkin masa depan dia dalam politik ada lagi, insya-Allah,” katanya lagi.

Mohd Shafie diketepikan daripada kabinet kerajaan Malaysia dalam rombakan dilakukan perdana menteri pada 28 Julai lalu.

Selain Shafie, turut digugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri.

Muhyiddin adalah Timbalan Presiden Umno, manakala Mohd Shafie naib presiden parti itu.

Nassier adalah antara pelawat yang dilihat datang menziarahi Mohd Shafie pada hari Ahli Parlimen Semporna itu digugurkan daripada kabinet.

Namun, di sebalik rasa sedihnya, penyanyi berusia 53 tahun itu berpendapat Najib melakukan rombakan untuk kebaikan rakyat.

“Datuk Najib buat apa yang baik untuk rakyat.

“Kita sebagai artis harapkan politik negara stabil dan ekonomi dalam dunia seni pun stabil. Ia bagi memudahkan anak seni mencari rezeki,” katanya.