Seorang militan Pakistan yang dikehendaki dan bernilai RM41 juta pada tubuhnya memenangi petisyen bagi melarang tayangan filem Phantom di Pakistan.

Warga Pakistan, Hafiz Mohammad Saeed, adalah seorang daripada 10 dalang serangan hotel mewah Mumbai pada 2008.

Filem Phantom itu pula mengisahkan insiden berkenaan dan watak Hafiz dalam karya itu dipaparkan mati dibunuh atas nama keadilan.

Hafiz juga mendakwa Phantom adalah filem propaganda India untuk menjejaskan imej Pakistan dan mengancam keselamatan dirinya.

Peguam Hafiz, A K Dogar memberitahu, keputusan yang memihak kepada anak guamnya itu diumumkan oleh Mahkamah Tinggi Lahore semalam.

Phantom diadaptasi daripada novel Mumbai Avengers karya S Hussain Zaidi yang diilhamkan daripada kejadian sebenar pengepungan enam premis di Mumbai oleh militan Lashkar e-Taiba.

Plot Phantom dikembangkan dengan cerita serangan membalas dendam oleh ejen rahsia India selama tiga hari ke atas suspek militan.

Guna nama sebenar

Pengepungan Mumbai menyaksikan serangan terhadap dua hotel mewah, pusat komuniti Yahudi dan stesen kereta api di bandar raya Mumbai.

Bagaimanapun, ketika karakter dalam Mumbai Avengers hanya menggunakan nama rekaan, penerbit Phantom memilih menamakan watak dalam filem itu sebagai Hafiz dan Headley.

Headly kini menjalani hukuman penjara 35 tahun di AS kerana terbabit dalam serangan di Mumbai yang mengorbankan 166 orang.

Filem yang dijadual ditayangkan pada 28 Ogos itu turut dijangka bakal menimbulkan ketegangan antara India dan Pakistan – dua negara yang memang sering berseteru termasuk dalam isu nuklear.

Sebelum ini, Pakistan pernah memburu Hafiz ( gambar ) dan meletakkan ganjaran AS$10 juta (RM41 juta) bagi sesiapa yang dapat menangkapnya.

Hafiz dibebaskan baru-baru ini dan bergiat dalam pertubuhan amal Jamaat-ud-Dawa. Namun India mendakwa pertubuhan itu masih mempunyai kaitan dengan Lashkar e-Taiba.

Bagaimanapun, Hafiz menolak dakwaan mempunyai sebarang hubungan dengan militan.

Sementara itu, pengarah Phantom , Kabir Khan, mengakui amat terkejut dan hairan dengan kejadian berkenaan.

Kata Kabir, aneh apabila individu yang dilabel sebagai pengganas boleh mengemukakan petisyen - dan diterima - di mahkamah.

“Dia orang yang menyebarkan kebencian dan dia menentang filem ini tanpa mengetahui tujuan ia dihasilkan,” katanya.