Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Stacy kini Ummu Syaikhah Stacy
Diterbitkan:  Aug 25, 2015 4:14 PM
Dikemaskini: Aug 26, 2015 3:36 AM

Akhirnya tanda tanya mengenai pegangan Stracie Angie Anam terjawab hari ini apabila bintang siri realiti Akademi Fantasia itu mengakui memeluk Islam.

Stacy, 25, mengucap dua kalimah syahadah di Johor Bahru, Johor pagi semalam.

Dalam sidang media di Bukit Jalil hari ini, Stacy mengakui dia teragak-agak untuk berkongsi hal berkenaan dengan orang ramai.

“Saya memang tidak bersedia untuk berkongsi hal ini, namun kalau difikirkan makin lama saya pendam perkara ini, ia akan menjadi lebih buruk.

“Ya, saya akui memeluk Islam,” katanya dipetik Sinar Harian .

Stacy memilih nama Islamnya sebagai Ummu Syaikhah Stacy Abdullah.

Majlis mengucap syahadah itu disaksikan ibu Stacy, Agnes Kallos.

Turut hadir teman lelaki Stacy, Akim (juga bekas pelajar Akademi Fantasia) dan ibu bapa Akim, Ahmad Sulaiman - Aminah Bahari.

Sebelum ini, berita mengenai pengislaman Stacy menjadi berita di media sosial dan turut dikongsi peminat di Instagram dan YouTube.

Memang cenderung

Salah satu klip video itu memaparkan susuk tubuh Stacy memakai selendang hitam sambil mengucap dua kalimah syadah di depan seorang wanita di dalam sebuah bilik.

Stacy dan Akim sudah menjalin hubungan cinta selama tiga tahun dan sentiasa dijejaki media tempatan, khususnya persoalan berkaitan perkahwinan.

Akim juga sebelum ini pernah mendedahkan pada media, sememangnya Stacy sudah cenderung ke arah itu.

Stacy anak kelahiran Kota Kinabalu adalah juara Akademi Fantasia musim keenam, manakala Akim pemenang tempat ketiga siri realiti sama tetapi untuk musim ketujuh.

Sementara itu Stacy menegaskan, dia tidak mengucap syahadah atas dasar cinta, sebaliknya mula meminati Islam dan terdetik mahu memahaminya sejak tujuh tahun lalu.

Bermula tahun lalu, katanya, barulah dia mula memenuhi hasrat yang terbuku sejak sekian lama itu.

“Saya tiada agama dahulu, tetapi pada 2012, secara rasmi saya menganut Kristian kerana mengikut jejak langkah keluarga," katanya.

Jadi pembakar semangat

Stacy menjelaskan, sebahagian keluarganya ada beragama Islam, manakala yang lain menganut Kristian.

“Kami memang sudah terdidik untuk percaya pada satu Tuhan saja,” katanya dipetik Malaysian Digest.

Kata Stacym minat kepada Islam mulai bersemai di hatinya apabila usianya mencecah 24 tahun.

Sejak itu, katanya, dia banyak bergaul dengan Muslim dan hal itu juga menjadi pembakar semangat dalam dirinya untuk terus mendalami Islam.

“Bila umur saya 24 tahun, saya lebih suka bercakap tentang Islam, malah bila berpindah ke Kuala Lumpur, saya banyak bergaul dengan mereka.

“Hal itu membuatkan saya kuat dan lebih minat ke arah itu dan yakin Islam agama yang saya mahukan,” katanya.

Lihat Komen
ADS