'Stand-up comedy bukan ceramah, usah dicurigai'
Enggan menggunakan perkataan "jenaka yang cerdik", penerbit Rumah Anak Teater Faisal Mustaffa berkata orang ramai perlu bersikap lebih terbuka menerima kemunculan persembahan stand-up comedy di negara ini.
Ketika sebahagian peminat masih menganggap lawak jenaka adalah garapan sketsa tertentu dan penampilan pelawak menjadi badut, Rumah Anak Teater berharap stand-up comedy diberi ruang dan peluang sewajarnya.
Kata Faisal, pemikiran khalayak terhadap definisi jenaka menyebabkan perkembangan stand-up comedy terbatas, dan pada masa sama menjadikan persembahan komedi kadang-kadang hambar.
“Ada sesetengah pihak kata, stand-up comedy ini bukan lawak tetapi ceramah politik.
“Masalahnya, mereka tidak tahu apa itu persembahan lawak berdiri ( stand-up comedy ) sehingga menganggap sedemikian.
“Komedi sebegini memang sinikal pengisiannya,” kata Faisal kepada Malaysiakini .
Terdahulu Faisal menjelaskan bagaimana perancangan Rumah Anak Teater menampilkan pelawak dari Medan, Indonesia, Indra Jegel di program Tahun Melawak Johor terkandas apabila slot diperuntukkan kepada mereka dibatalkan.
Jalan masih jauh
Perkembangan politik semasa di dalam negara - dan Johor - dipercayai menyumbang kepada pembatalan itu.
Menurut Faisal, ada pihak yang mungkin tidak senang apabila persembahan stand-up comedy menampilkan banyak unsur satira dan sindiran.
Katanya, tindakan menyindir tidak sepatutnya dicurigai dan dimusuhi kerana ia terhad sepanjang tempoh persembahan berkenaan saja.
"Dalam realiti, tidak berlaku langsung pergaduhan atau sebagainya selepas sesuatu persembahan stand-up comedy berakhir," katanya.
Di sebalik kecurigaan terhadap stand-up comedy , Faisal berpendapat persembahan jenaka begitu sebenarnya sudah tidak asing lagi di negara ini, namun penerimaannya terbatas di kalangan pengguna bahasa Inggeris.
Katanya, persembahan stand-up comedy menggunakan bahasa Inggeris setakat ini belum pernah disangkal atau mendapat kritikan seperti dialaminya untuk kali pertama beberapa hari lalu.
Justeru, Faisal berpendapat perjalanan yang perlu ditempuh masih jauh untuk meletakkan pembaharuan dan menaiktaraf persembahan stand-up comedy .
“Penerimaan lambat disebabkan minda penonton sudah ditanam dengan komedi sketsa dan berskrip," katanya.
Malaysiakini kelmarin menyiarkan laporan mengenai program Tahun Melawak Johor yang dibatalkan dipercayai atas tekanan pihak berkuasa dengan alasan ia menyentuh sensiviti masyarakat dan hal ehwal negara .
Selain beberapa tokoh tempatan - seperti Hishamuddin Rais, Azmi Bahron, KC dan JD, Rumah Anak Teater menyediakan pelawak dari Medan, Indonesia - Indra Jegel (
gambar
) - sebagai penghibur.
Persembahan mereka di Johor sepatutnya diadakan hari ini dan esok.
Menanggapi pembatalan itu, Faisal berkata Rumah Anak Teater berasa "sedih" kerana segala perancangan yang dibuat lebih awal terpaksa dilupakan.
“Kami sedih kerana tertanya-tanya, sampai bila kita hendak mengharapkan persembahan jenaka yang biasa?
“Benda ini ( stand-up comedy ) sepatutnya diberi kebebasan kerana setiap tokoh yang ditampilkan pun tahu batasan yang perlu dijaga," katanya.

