Jerebu lambatkan Afdlin pulih dari sakit
Dirawat di hospital selama kira-kira dua minggu, akhirnya Afdlin Shauki dibenarkan pulang. Namun itu tidak bermakna masalah kesihatannya berakhir.
Rupa-rupanya cuaca berjerebu menjadikan artis serba boleh itu berdepan cabaran lain.
Afdlin mendapatkan rawatan kerana disyaki mengalami demam denggi dan dirawat di Pusat Perubatan Gleneagles sejak 14 September.
Menurut Afdlin, beliau masih berusaha untuk kembali sihat seperti biasa walaupun ada beberapa faktor memperlahankan proses itu.
“Kesihatan saya beransur pulih, cuma badan kembali melemah sekiranya saya keluar rumah ketika cuaca diselubungi jerebu," katanya kepada Malaysiakini .
Pun begitu, ada hikmah di sebalik sakit yang dihidapi pelakon dan pengarah Papadom itu.
Jangkitan demam denggi memberi kesan terhadap penampilan naib juara Maharaja Lawak Mega 2011 itu apabila ia menggugat deria rasa dan membuatnya kehilangan "nafsu makan".
“Sehingga kini saya belum ada selera makan.
“Perkara itu membuatkan berat badan saya turun sebanyak 6 kilogram!” katanya sambil tersenyum.
Kalau tidak, tak tahulah
Sepanjang karier Afdlin sebagai anak seni, ia tidak pernah terbatas pada bidang lakonan semata-mata.
Justeru, selain menjadi pelakon, beliau turut mengembangkan sayap bakatnya sebagai pengarah, pelawak, pengacara dan penyanyi.
Afdlin menjelaskan, dalam satu atau dua bulan ini badannya masih akan berada pada tahap lemah dan ia membuatkan kesihatan beliau masih perlu dipantau oleh doktor.
“Rawatan susulan itu perlu dijalani sebab platlet darah baru naik (selepas berkurangan kerana denggi). Ia pernah turun sehingga 30 bpl dan kini naik 100 bpl.
“Doktor kata itu sudah cukup baik selagi paras itu meningkat,” katanya.
Namun, kesihatan yang masih belum pulih sepenuhnya tidak menghalang Afdlin untuk untuk melaksanakan tugas sedai ada.
“Saya kuatkan semangat dan lawan perasaan tak selesa dengan bekerja. Kalau tidak ada kerja, saya cuma berehat di rumah," katanya.
Biarpun terpaksa memperlahankan aktiviti seninya, Afdlin tetap menggagahkan diri tampil di kaca televisyen menerusi program Super Spontan.
Akibatnya, dalam rakaman rancangan itu dia terhuyung-hayang sehingga terpaksa dibenarkan duduk oleh penerbit.
“Kalau tidak, tak tahulah,” katanya.

