Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi Hazami awalnya memang tidak begitu yakin nasihat arwah bapanya supaya sentiasa berbuat baik dengan semua orang bakal mendatangkan hikmah besar buat ketika dalam kesusahan.

Hazami atau nama asalnya Norkamal Hazami Ahmad akhirnya menyedari kebenaran nasihat itu apabila ‘ganjaran’ sebenar muncul ketika dia merintih kesakitan.

“Saya selalu diingatkan ayah mengenai cara berkawan dengan orang.

“Pesan arwah ayah, kita kena buat baik sesama kawan sebab kita tak tahu bila masa kita perlukan bantuan," katanya kepada Malaysiakini .

Penyanyi Mungkir Bahagia itu mengalami ujian dalam hidupya apabila dimasukkan ke unit kecemasan Pusat Perubatan Tropicana Damansara kerana mengidap diverticulum atau kantung darah pecah sekitar Ogos lalu.

Dia dikejarkan ke hospital itu apabila mengadu sakit perut secara tiba-tiba. Untuk menyelamatkan keadaan Hazami diberitahu dia terpaksa menjalani pembedahan.

Terkejut ramai membantu

Pun begitu, pada awalnya Hazami cemas juga kerana menyangka dia menghidap kanser. Namun ujian biopsi menunjukkan dia bebas daripada penyakit berkenaan.

Ketika terlantar itu, Hazami ternyata tidak bersendirian melawan penyakit dihidapinya.

Penyanyi berusia 40 tahun itu bahkan begitu terkejut apabila mendapati dia sebenarnya memiliki ramai kawan yang boleh diharapkan.

“Saya sangka tidak ramai kawan yang membantu atau menjenguk tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Ketika masa senang, tidak ramai kawan yang meluangkan masa, tetapi apabila sakit, ramai pula yang datang menziarah.

“Saya amat terkejut sebab ramai mendekati semasa saya sakit, malah ada hubungan yang semakin erat pula,” katanya.

Kini, penyanyi yang juga komposer itu sudah mampu mengukir senyuman dan kembali menghiburkan peminatnya buat pertama kali baru-baru ini.

Dia diundang mengisi salah satu slot festival konvokesyen dan minggu karier Universiti Kuala (UniKL) Lumpur.

Antara lagu dipersembahkan Hazami adalah Kiblatku, Tekad, Survivor, Mungkir Bahagia, Kata, Sonata Musim Salju dan Ke Hujung Nyawa.

Lagu Ke Hujung Nyawa itu sebenarnya adalah single terbaru Hazami yang pada awalnya mahu dilancarkan secara rasmi di Sabah tetapi telah diperdengarkan di Kuala Lumpur terlebih dulu.

“Saya akan keluarkan single Ke Hujung Nyawa - insya-Allah - pada penghujung Oktober selepas konsert jelajah di Sabah.

Mengenai album terbarunya, Hazami berkata dia masih belum bersedia menghasilkannya kerana tidak mahu tergesa-gesa walaupun banyak tertangguh.

"Sebenarnya ia sudah hampir siap tetapi saya tak mahu tergesa-gesa,” katanya.

Sebenarnya, Hazami memang merancang untuk membuat kemunculan semula selepas tiga tahun menyepi dari industri muzik.

Kemunculan semula Hazami dalam dunia muzik sekali lagi adalah untuk melengkapkan albumnya yang kelapan berjudul I Luv U dan bakal menampilkan sekurang-kurangnya sembilan lagu.

Selain Hazami, beberapa artis yang bernaung di bawah syarikat Cloudworks Entertainment turut mengadakan persembahan di UniKL itu, termasuk Nadd Emilia (AF8), Fathin Amira Zubir (Asia Got Talent) dan Mafarikha (Vokal Bukan Sekadar Rupa).

Lihat Komen
ADS