Sebuah mahkamah di Indore, Iindia kelmarin mengarahkan pelakon Aamir Khan, pengarah Raju Hirani dan penulis skrip Abhijeet Singh menghadiri perbicaraan berhubung dakwaan pengisian kontroversi dalam filem PK.

Hakim mahkamah sesyen BS Rawat mengeluarkan arahan ekoran semakan petisyen dikeluarkan sebelum ini yang mendakwa filem PK menyentuh isu sentimen keagamaan dan sensitiviti masyarakat.

Petisyen dikemukakan oleh Lalji Gore pada Jun 2014 atas alasan PK berniat untuk memesongkan akidah serta mendakwa filem itu mempunyai banyak adegan mempermainkan kepercayaan beragama.

Bagaimanapun, pada September 2015, peguam Gore, Mukesh Deval berkata mahkamah menolak petisyen berkenaan atas alasan lembaga penapisan sudah meluluskan filem berkenaan.

Berikutan alasan itu, Deval memfailkan petisyen lain dengan hujah, lembaga penapisan filem bukan mahkamah dan memohon hukuman tetap dikenakan ke atas Aamir, Raju, Abhijeet dan Leela Samson.

"Selepas mendengar rayuan, mahkamah mengarahkan semua tertuduh hadir untuk perbicaraan pada 16 November," kata Deval.

PK adalah filem terbitan Disember 2014 mengisahkan satu mahkluk asing (Aamir) yang datang ke Bumi dan tiba di Rajashtan dalam satu misi penyelidikan.

Tidak lama kemudian PK (Aamir) menjadi mangsa serakah manusia.

Plot penceritaan filem satira itu berkembang dengan pelbagai pengisian - termasuk cinta.

Bagaimanapun isu yang dipertikaikan adalah pelbagai persoalan provokasi yang ditimbulkan secara tidak langsung mengenai kepercayaan beragama.

Ia tidak sekadar mempertikaikan pegangan agama Hindu, malah Islam dan lain-lain.

Deval berkata, selepas hujah rayuan mereka dikemukakan, hakim mengarahkan kes itu dibicarakan pada 16 November ini.

“Aamir, Hirani dan Abhijeet Singh serta Pengerusi Lembaga Penapis Filem India, Leela Samson diarah hadir di mahkamah pada hari berkenaan,” katanya.