Baru berusia belasan tahun, penyanyi Brunei ini mempunyai cita-cita besar - menghasilkan lagu yang membawa tema politik dan keamanan.

Menjadikan lagu Assalamualaikum nyanyian Faizal Tahir sebagai contoh, Aziz Harun, 17, berkata, dia berhasrat untuk menghasilkan lagu seperti itu di masa akan datang.

“Saya harap dapat hasilkan lebih banyak lagu seperti Assalamualaikum kerana biarpun santai, ia menceritakan tentang politik dunia yang kini sarat dengan peperangan,” katanya kepada Malaysiakini .

Aziz ditemui ketika majlis pelancaran single terbarunya Beautiful di pejabat Warner Music Damansara.

Mula menempa nama selepas menghasilkan Senyum - dilancarkan tahun lepas - Aziz mendapat pencalonan dalam kategori Artis Baru Terbaik Lelaki di Anugerah Planet Muzik yang diadakan di Singapura baru-baru ini.

Beautiful dikeluarkan selepas Senyum dan setakat ini mencatat penjualan lebih 200,000 unit untuk muat turun digital.

Beautiful dihasilkan oleh Aziz Harun, Mike Chan, Omar K dan Faizal Tahir.

Kini lebih yakin

Keindahan lagu itu terdapat pada liriknya yang mengajak masyarakat untuk menerima diri seadanya, khususnya buat golongan wanita.

Bukan saja setakat mahu menghiburkan, malah disebabkan sesetengah orang berasa tidak yakin terhadap diri sendiri, dia terpanggil untuk memberi semangat kepada golongan itu menerusi nyanyiannya.

Menceritakan pengalaman diri sendiri, ketika mencecah usia kira-kira 11 tahun, Aziz pernah tidak menyukai penampilan dirinya sendiri

Ketika kecil, Aziz berbadan gempal dan banyak duduk di rumah untuk menghasilkan lagu.

Penampilannya kian berubah dan keyakinan itu bertambah selepas abangnya membantunya merakam lagu dan menyiarkannya menerusi YouTube.

Aziz kini kelihatan lebih segak dan berbadan tegap hasil rutin ketatnya bermain bola sepak dan beriadah di gim.

Walaupun meminati bidang nyanyian, namun Aziz tidak mahu mensia-siakan pelajaran.

Dia yang ketika ini menuntut di peringkat A Level di Sekolah Antarabangsa Jerudong Brunei berniat mahu menyambung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi di United Kingdom.

Sebagai pelajar yang bakal mempelajari bidang ekonomi dan mengembangkan karier di Malaysia, Aziz turut mengambil tahu perkembangan di negara ini.

Katanya, biarpun negara ini sedang mengalami krisis ekonomi, dia berharap situasi itu akan pulih segera.

“Malaysia terbeban dengan masalah ekonomi sekarang, tetapi saya yakin, ia boleh pulih dengan perlahan-lahan.

“Cukai yang dipungut kerajaan harus dapat dimanfaatkan kembali kepada rakyat agar kualiti kehidupan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.