Konsert Blue Jeans yang sepatutnya menyaksikan kumpulan Exist, May dan Blues Gang beraksi selama tiga hari berturut-turut ditangguh berikutan terdapat beberapa acara lain yang berskala besar.

Menurut Pengarah Urusan Bombbay Worldwide Zamberi Shaari, konsert yang sepatutnya berlangsung 23, 24 dan 25 Oktober ini di Istana Budaya terpaksa ditunda ke Disember.

“Penundaan terpaksa dibuat kerana minggu terakhir Oktober dan awal November terdapat konsert besar seperti Wings 30 Tahun, konsert Ku Mohon, Hujan, Kembara M Nasir dan konsert Siti Nurhaliza.

“Ini membuatkan peminat dalam dilema dan mereka terpaksa membuat pilihan konsert mana yang berbaloi pada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, pihak Bombbay memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku terutama kepada peminat Exist, May dan Blues Gang.

Katanya, satu sidang media akan diadakan bersama wakil Istana Budaya dan artis terbabit mengenai penundaan tarikh dan pengumuman tarikh baru.

Selain itu, cara penebusan tiket juga akan diumumkan kepada sesiapa yang telah membeli pada tarikh asal iaitu 23 hingga 25 Oktober.