'Ya Allah, sakitnya'
Pelakon Fara Mendoza mengalami kecederaan dalaman selepas kemalangan.
Dalam kenyataan dimuat naik oleh artis itu menerusi akaun Instagramnya, insiden itu berlaku selepas pulang dari menghadiri mesyuarat perniagaan yang diadakan di Subang.
“Inilah sebab saya menangis terlalu banyak.
“Kejadian berlaku selepas pulang dari Subang atas urusan mesyuarat dan memandu seorang diri.
“Ya Allah, sakitnya,” katanya.
Sebelum menyiarkan gambar itu, Fara memuat naik gambar dengan mesej “Menangis sekiranya ia membuat kamu berasa lebih baik.”
Menurut Fara, kemalangan yang dialami itu menyebabkan dia mengalami kecederaan dalaman.
Bagi Fara, dia harus tabah dalam menghadapi dugaan dan situasi berkenaan.
Dalam imej dimuat naik Fara semalam, ia menunjukkan kenderaan berwarna perak itu terbalik, cermin dan lampu bahagian depan pecah serta remuk di bahagian kiri.
Nota buat diri sendiri
Sejurus selepas Fara memuat naik status kemalangan, artis yang bernaung bawah MIG Talent itu menyiarkan lagi gambar keduanya ketika berada dalam wad hospital dengan nota untuk diri sendiri.
“Semoga cepat pulih wahai diri,” katanya.
Sementara itu, kebanyakan peminat yang mengikuti perkembangan Fara tidak henti mendoakan artis agar artis kesayangan mereka itu segera sembuh.
Antara komen itu dari akaun zul_jitra: “Moga cepat sembuh @faramendoza_ pedulikan apa orang kata.”
Namun, ada juga komen yang menyatakan kejadian sedemikian memberi ruang dan peluang kedua untuk Fara memperbaiki kelemahan dirinya.
“Ada hikmah yang Allah beri dan semoga cepat bertaubat dan kembali sihat untuk ke jalan Allah. Amin,” kata pengguna akaun nurulliana_noor.
Fara kemudian memuat naik status yang terkini dengan gambar mesej “Terima Kasih Allah” disertai dengan perkataan Alhamdulillah.

