Menjelang penggambaran Ada Apa Dengan Cinta 2 ( AADC 2 ), Melly Goeslaw memberitahu dia sudah menyiapkan lima lagu untuk filem berkenaan.
Melly yang juga dikenali sebagai penyanyi, pencipta lagu dan penerbit album bekerjasama dengan suaminya Anto Hoed untuk menghasilkan lagu terbaik mereka bagi filem berkenaan.
Daripada lima lagu itu, kata Melly, hanya satu memiliki susunan muzik berbeza berbanding filem pertama dulu.
Tiga lagu lagi, katanya, adalah ciptaan daripada Ada Apa Dengan Cinta dengan susunan muzik baru.
"Secara keseluruhan AADC 2 akan diiringi lapan lagu teman untuk meneruskan kisah cinta Rangga (Nicholas Saputra) dan Cinta (Dian Sastrowardoyo) selepas 14 tahun kemudian," katanya selepas majlis kesyukuran di Jakarta kelmarin.
Kerjasama hasilkan yang terbaik
AADC 2 adalah filem sambungan kepada AADC yang mendapat sambutan hangat daripada peminat pada 2002.
Dalam filem pertama dulu Melly dan Anto bergabung menghasilkan 11 lagu, termasuk Ada Apa Dengan Cinta (nyanyian bersama Melly dan Erick Benzi) dan Tentang Seseorang (Anda).
Pada Festival Filem Indonesia 2004, buah tangan pasangan suami isteri itu diiktiraf apabila dianugerahi sebagai pemenang kategori Susunan Muzik Filem terbaik melalui AADC .
Kata Melly, satu daripada lagu yang disusun semula dalam AADC 2 ialah Bimbang .
Seniman berusia 41 tahun yang digelar Ratu Runut Bunyi itu berkata, walaupun berpengalaman menghasilkan banyak lagu, AADC 2 tetap membawa cabaran besar untuknya.
"Salah satu cabaran saya ialah menghasilkan lagu yang berbeza daripada tetapi tetap memiliki roh daripada filem pertama," katanya.
Tidak ketinggalan adalah penyusunan muzik oleh Anto.
Kata Melly, dia hanya menghasilkan irama asas dan suaminya menyusun atur muzik. Daripada kedua-duanya mereka gigih mendapatkan hasil terbaik.
A photo posted by Melly Goeslaw (@melly_goeslaw) on
