Polis: Siasatan 'pistol' Amir Ukays belum selesai
Polis masih terus menyiasat kes Amir Ukays yang ditahan sebelum ini kerana memiliki pistol tiruan.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Polis Diraja Malaysia memaklumkan, pistol tiruan itu sudah dihantar ke bahagian forensik untuk siasatan lanjut.
Memaklumkan perkara itu melalui Twitter @PRDMsia petang ini, siasatan itu hanya akan disiapkan selepas pegawai yang bertugas menerima laporan forensik.
"Polis hanya melepaskan suspek atas jaminan sementara menunggu hasil siasatan forensik," kata kenyataan itu.
Kelmarin Malaysiakini melaporkan seorang penyanyi popular 1990-an ditahan polis di Sentul kerana ditemui membawa 'senjata api'.
Siasatan lanjut bagaimanapun menunjukkan pistol itu adalah tiruan.
Amir sendiri semalam menyatakan dia dibebaskan polis dan mendakwa pistol tiruan berkenaan sepatutnya disimpan di rumah untuk menembak cicak.
“Alhamdulillah, saya didapati tidak bersalah dan dibebaskan pada petang tadi (kelmarin)," katanya dipetik sebagai berkata.
Penyanyi yang popular dengan lagu Di Sana Menanti Di sini Menunggu itu ditahan polis awal pagi semalam kerana memiliki sepucuk pistol berwarna hitam yang tertera tulisan Walther CP99 Compact dengan nombor siri 12L20520.

