Filem Unbroken tetap menemui peminat filem di Jepun walaupun mendapat tentangan hebat daripada kumpulan nasionalis negara itu.

Unbroken adalah filem kedua Angelina dan ia sebenarnya sudah ditayangkan di pawagam AS dan beberapa buah negara lain pada penghujung tahun lalu.

Namun, ia tidak disenangi sesetengah pihak apabila ia cuba ditayangkan di Jepun dan mereka menggerakkan kempen untuk menghalang Unbroken mengharamkannya.

Namun setakat ini kempen itu dilihat dilihat tidak memadai.

Unbroken menggambarkan bagaimana tawanan Perang Dunia Kedua diseksa dengan kejam oleh pengawal keselamatan Jepun ketika itu.

Filem ini diadaptasi daripada kisah benar yang berlaku ke atas pelari Olimpik AS yang juga juruterbang tentera udara Louis Zamperini.

Zamperini hanyut selama 47 hari selepas pesawat 8-24 dinaikinya dalam misi menyelamat, terhempas ke lautan Pasifik pada 1943.

Kisah menyayat hati ini mendedahkan bagaimana Zamperini ditawan dan terpaksa menghabiskan selama dua tahun daripada hidupnya di dalam kem tawanan Jepun.

Di dalam kem, Zamperini diseksa dan dibiarkan untuk mati kebuluran.

Hargai semua mangsa perang

Unbroken dihasilkan berdasarkan buku terlaris Laura Hillenbrand pada 2010 iaitu A World War II Story of Survival, Resilience and Redemption.

Kerana dianggap menjatuhkan maruah, Unbroken dikecam oleh golongan konservatif Jepun sebagai perkauman dan berniat jahat terhadap negara itu .

Sehubungan itu, aktivis Jepun melancarkan kempen mereka di Change.org dan Facebook untuk mengharamkan filem berkenaan.

Aktivis terbabit turut mengusulkan agar Angelina tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke negara itu lagi.

Pada masa sama, Persatuan Penyebar Fakta Bersejarah yang berpangkalan di Jepun mendakwa Unbroken itu adalah naskhah yang dihasilkan melalui khayalan semata-mata.

Sebelum meninggal dunia pada usia 97 tahun, Zamperini pernah cuba mengadakan pertemuan dengan individu yang menawannya namun permintaan itu ditolak oleh ketua pengawal penjara bernama Mutsuhiro Watanabe.

Unbroken dipromosikan di Jepun sebagai kisah benar seorang lelaki yang terselamat daripada azab selama dua tahun di kem tahanan.

Menurut Angelina, dia tidak mengambil peduli kritikan yang datang kerana berasakan ia sebuah filem dengan mesej yang indah.

“Kami amat prihatin dalam menunjukkan semua sisi peperangan termasuk pengeboman di Tokyo.

“Tetapi ini adalah pengalaman Zamperini dan dia mengalami kesukaran hidup semasa menjadi tahanan perang.

“Kami mahu menunjukkan penghargaan kepada semua anggota yang menderita dalam peperangan,” katanya.

Unbroken bukan satu-satunya filem luar yang mendapat keceman hebat daripada ultranasionalis Jepun.

Pada 2010, kebanyakan pawagam di Jepun bercadang tidak mahu menayangkan The Cove - yang memenangi anugerah Oscar - mengenai penyembelihan ikan lumba-lumba di bandar Taiji selepas aktivis mengancam untuk mengganggu tayangan.

Bagaimanapun, filem itu ditayangkan selepas tokoh terkenal industri perfileman meminta pengedar dan pawagam mempertahankan hak kebebasan bersuara.