Manohara kini gauli bidang penerbitan
Model dan pelakon yang pernah menggemparkan ramai - termasuk di Malaysia - suatu ketika dulu, Manohara Odelia Pinot kini dilaporkan aktif dalam dunia penerbitan.
Manohara berkata dia sudah tidak lagi aktif dalam dunia hiburan selepas berlakon kali terakhir dalam filem Aku Cinta Kamu setahun lalu.
Katanya, untuk sinetron pula dia sudah dua tahun tidak beraksi di depan kamera.
"Memang masih sibuk tetapi dalam bidang lain, iaitu penerbitan," katanya.
Manohara, 23, adalah selebriti Indonesia yang memiliki darah kacukan Bugis dan Kaukasia.
Masih terlibat peragaan
Dia yang memiliki kewarganegaraan Indonesia dan AS pernah menjadi sebahagian daripada keluarga bangsawan Kelantan.
Bagaimanapun rumahtangga mereka kini sudah berakhir.
Namun ketika ditemui media kelmarin, Manohara berkata dia tidak melupakan sepenuhnya bidang hiburan.
"Jika dunia peragaan, saya masih terlibat," katanya.
Ditanya mengenai dunia cintanya, Manohara cuma diam sebelum mengaku masih tidak menemui pasangan yang sejiwa.
"Tak ada sebab tertentu, cuma belum ada jodoh. Juga masih ada kesan trauma," katanya.
Aku Cinta Kamu adalah filem yang ditayangkan pada Mac tahun lalu memaparkan empat cerita daripada empat lagu.
Acha Septriasa dan Rio Dewanto membintangi cerita yang diilhami daripada lagu Dari Firasatku ; Eriska Reinisa, Kim Kurniawan, Martina Tesela dan Mathias Ibo untuk cerita daripada lagu Cinta Itu Adalah ; Giorgino Abraham dan Pevita Pearce ( Sakit Hati ) dan Dimas Anggara, Gofar Hilman dan Manohara ( Jernih ).

