Hafiz 'bercinta di istana' sempena Maulidur Rasul
Untuk melangkah dengan 'kaki kanan' ke Istana Budaya, Hafiz Hamidun memilih tarikh bersejarah - 12 Rabiul Awal atau 24 Disember - bagi mendapatkan "keberkatan" sempena hari Maulidur Rasul tahun ini.
Untuk persembahan Malam Kalimah Cinta itu Hafiz sengaja menetapkan tarikh berkenaan kerana ia adalah kali pertama untuknya beraksi di 'istana' berkenaan.
Dan kata Hafiz, konsert Malam Kalimah Cinta pada 24 dan 25 Disember itu diharap dapat memberi perasaan mengujakan kepada penonton.
“Saya cuba menggunakan keberkatan Maulidur Rasul (untuk memulakan persembahan) itu sebab tarikh berkenaan memang istimewa.
“Kalau orang luar sambut meriah dengan cara berlainan, dan kalau kita sambut di Istana Budaya, kita kena gemilangkan perasaan itu,” katanya di di sidang media untuk mengumumkan konsert Malam Kalimah Cinta di Platinum Sentral, Kuala Lumpur semalam.
Sebenarnya Malam Kalimah Cinta berlangsung selama tiga hari iaitu 23, 24 dan 25 Disember. Bagaimanapun ia bukanlah membabitkan Hafiz semata-mata.
Persembahan pembukaan Malam Kalimah Cinta adalah daripada penyanyi Indonesia, Opick pada 23 Disember yang tampil dengan pemuzik sendiri dari negara berkenaan.
Ia kemudian diikuti oleh Hafiz pada dua malam berikutnya dan pemuzik akan diterajui komposer Lok U.
Malam itu memang bukan sembarangan malam. Ia adalah sisi muzikal unik menampilkan gabungan nyanyian beserta kesan khas multimedia.
Kata Hafiz, disebabkan lagunya berunsur dakwah, tidak sesuai untuk menampilkan penari sebagai penyeri pentas.
Justeru, katanya, dia menggunakan kesan khas multimedia.
Manfaat media sosial
Sebanyak 18 lagu akan dibawakan oleh Hafiz dari, manakala dua lagi oleh artis jemputan yang bakal diumumkan kelak.
Persembahan Malam Kalimah Cinta itu dibawakan dengan kerjasama antara Mask Team dan Indigital Sdn Bhd serta Istana Budaya.
Penonton bakal dihiburkan selama 120 minit itu dan lebih istimewa, mereka turut diperdengarkan lagu dari album kelima Hafiz yang hanya akan dilancarkan tahun depan.
Album kelima Hafiz berbentuk selawat dihasilkan oleh produksi di Mesir dan Turki.
Walaupun konsert itu bakal diadakan pada hujung tahun, Hafiz yakin ia masih mendapat sambutan terutama apabila ia menggunakan kaedah promosi menerusi media sosial.
“Kami akan menggembleng tenga melalui media sosisal seperti Facebook,”katanya.
Menurut Hafiz, persembahan akan diseimbangkan antara dua tema dan dalam bentuk penceritaan iaitu zikir – dari segi maknanya - dan selawat.
“Untuk menunjukkan betapa seseorang itu menyayangi Rasulullah, penghormatan itu sebaiknya dibuat dengan perasaan rendah diri, menangis dan syahdu apabila menyebut nama baginda,” katanya.

