Menganggap sebagai satu ujian yang tidak akan melemahkan semangat, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin membuat kenyataan terbuka mengenai spekulasi dan status kehamilannya bagi mengakhiri spekulasi yang bertebaran sebelum ini.

Bukan menafikan mahupun mengeyakan, tetapi Siti lebih selesa untuk ‘berdiam diri’ apabila diajukan persoalan mengenai kandungannya yang dikatakan sudah berusia dua bulan.

Dan dalam meniti hari mendebarkan itu, isteri Datuk Khalid Mohamad Jiwa itu akur dengan apa saja takdir yang tersurat untuknya walaupun amat pahit selepas menanti selama sembilan tahun.

Dan hari ini, menerusi akaun Instagram peribadinya, Siti memilih untuk berkongsi berita sedih itu buat peminat.

“Mula-mula Siti ingin berkongsi cerita indah, namun percaya semua dugaan ada hikmah dari-Nya.

“Ini semua meningkatkan lagi keimanan Siti kepada Pencipta.

“Memang tidak mahu menafikan berita kehamilan, tetapi kerana ia anugerah terindah yang lama Siti nantikan dan sudah pasti didoakan peminat.

“Namun, hendak mengeyakan pun takut kerana anugerah ini terlalu baru dan tiada jaminan,” tulisnya.

Biarpun dilanda khabar mendukacitakan, Siti dilihat kekal positif malah tidak membiarkan dirinya mahu dirundung sedih.

“Terima kasih suami, keluarga dan sahabat.

“Selepas habis proses berpantang, Siti akan menjalani kegiatan seperti biasa, kena masuk gim balik dan menghadiri beberapa acara di Jakarta.

“Buat sahabat saya iaitu peminat dan pengikut saya, teruskan doa yang baik-baik mana tahu dalam berjuta ada yang makbul doanya.

“Siti pun mendoakan agar Allah kurniakan anugerah terbaik buat anda tidak kiralah dalam bentuk apa yang anda inginkan,” katanya.