Konsert 30 Tahun Wings: Back to 80’s yang asalnya diadakan di Dataran Bandaraya di Johor Bahru pada 25 Disember ini diubah ke lokasi lain bagi mengelak masalah kesesakan lalu lintas pada hari berkenaan.

Kenyataan dikeluarkan penganjur menyatakan, lokasi baru untuk konsert itu ialah di Padang B, Plaza Angsana.

Pertukaran dilakukan memandangkan lokasi asal di Dataran Bandaraya yang terletak di tengah bandar raya adalah kawasan yang sering menjadi tumpuan ramai.

"Kawasan itu juga berdekatan dengan kompleks CIQ Sultan Iskandar dan akan menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila berlakunya pertambahan jumlah kenderaan dari Singapura yang memasuki Johor Bahru sempena Krismas," kata kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, tarikh konsert dan masa pintu dibuka - iaitu jam 4 petang - kekal seperti dirancang.

Acara itu adalah kesinambungan konsert Wings yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu.

Wings juga akan membawakan konsert dengan format sama di Johor Bahru nanti.

Persembahan turut dimeriahkan kumpulan Indie Bands dan Super Friends serta slot istimewa Wings bersama Ex-Wings.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga antara RM 65 hingga RM600 setiap satu.