Weiland mati dalam tidur
Dijemput ajal dalam tidur - begitu penamat hidup bekas penyanyi kumpulan Stone Temple Pilots, Scott Weiland, hari ini.
Dia berumur 48 tahun.
Kematian itu disahkan pengurus Weiland, Tom Vitorino, yang membuat makluman di Instagram.
"Weiland meninggal dunia dalam tidur ketika bas rombongannya berhenti di Bloomington, Minnesota," katanya.
Bas itu membawa Weiland dan bandnya, The Wildabouts yang dijadualkan membuat persembahan di negeri itu pada malam nanti (waktu tempatan).
Ketika punca kematiannya belum jelas, orang ramai mengetahui Weiland memang pernah menghadapi masalah ketagihan dadah.
Bersama Stone Temple Pilots, Weiland pernah memenangi anugerah Grammy.
Satu lagi band yang pernah dianggotainya ialah Velvet Revolver.
TMZ melaporkan, mayat Weiland ditemui dalam bas yang diletakkan di luar sebuah motel tidak jauh dari tempat The Wildabouts dijadual membuat persembahan.
Lahir di California, Weiland menubuhkan Stone Temple Pilots bersama adik-beradiknya Robert dan Dean DeLeo di hujung 1990-an.
Masalah dadah tak sudah
Bagaimanapun kejayaan kumpulan itu dicemari oleh pertelingkahan sesama anggotanya.
Selepas beberapa kali bermasalah Weiland meninggalkan The Wildabouts dan membentuk kumpulan lain, Velvet Revolver bersama bekas pemain gitar Guns N' Roses, Slash (guitars), Duff McKagan (bass) dan Matt Sorum (dram) pada 2002.
Pada masa sama, masalah ketagihan dadah Weiland menjadi semakin kronik dan disabitkan kesalahan membeli kokain pada 1995.
Pada 1999 dia dipenjara kerana melanggar tempoh percubaan hukuman dan pada 2003 dihukum penjara tiga tahun - juga atas kesalahan dadah.
Masalah penagihan dadah juga banyak mengganggu persembahan berjadual Velvet Revolver kerana Weiland perlu hadir di mahkamah dari semasa ke semasa.
Masalah itu berakhir dengan Weiland - sekali lagi - membawa haluan sendiri dan meninggalkan bandnya yang tidak dapat bertahan lagi dengan masalah dadah.
Dia muncul semula bersama Stone Temple Pilots sebelum disingkirkan pada 2013 atas alasan "salah laku" dan mencemar nama band berkenaan.

