Polis siasat kes pelakon Australia larikan anak di KL
Polis akan menyiasat kes seorang pelakon wanita Australia, Eliza Szonert yang didakwa melarikan anak lelakinya daripada bekas suaminya, Ashley Crick di sebuah restoran di Kuala Lumpur, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata Crick telah membuat laporan polis berhubung kes itu di Balai Polis Brickfields malam tadi.
"Saya percaya kes ini lebih menjurus kepada konflik keluarga yang dialami mereka...polis akan mengesan Eliza Szonert dan seterusnya mengambil keterangan daripada beliau," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala umpur, hari ini.
Law berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan anak.
Semalam, sebuah portal berita ( The Malaysian Insider ) yang memetik laporan The Sydney Morning Herald mendedahkan Szonert ditemani dua orang lelaki ke sebuah restoran di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur pagi semalam untuk menemui Crick sebelum melarikan anak lelakinya.
Laporan itu menyebut Szonert datang ke Malaysia bersama anaknya untuk tinggal bersama Crick yang menetap dan bekerja di sini, sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka berdua.
Bagaimanapun memetik laporan akhbar itu, Szonert difahamkan masih gagal pulang ke Australia bersama anak lelakinya kerana Crick dipercayai menyimpan pasport bekas isterinya itu.
- Bernama

