Setelah sembilan minggu beraksi, hari ini merupakan penentu untuk mengetahui siapakah juara Gegar Vaganza musim kedua.
Rancangan terbitan Astro itu menyaksikan tujuh peserta iaitu Acong (Sweetchild), Siti Nordiana, Ezad Lazim, Nassier Wahab, Haiza dan Faradhiya akan berentap pada konsert final.
Acara itu akan berlangsung di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada jam 9 malam ini.
Nama penyanyi era 90-an Siti Nordiana juga merupakan antara nama yang disebut-sebut sebagai juara Gegar Vaganza 2.
Ia berikutan prestasinya dalam program tersebut yang sering mendapat pujian daripada juri iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim.
Namun bagi lima peserta lain tidak kurang hebatnya. Ini kerana kesemua peserta yang layak ke konsert akhir mempunyai pengalaman serta kelebihan yang tersendiri.
Enam peserta akhir akan bersaing menerusi lagu pilihan serta acara ‘battle’ bagi menentukan siapakah yang layak bergelar juara Konsert Gegar Vaganza 2 sekali gus melayakkan mereka membawa pulang RM100,000 serta sebuah lagu baru.
Program ini akan disiarkan secara langsung melalui Astro Ria dan Ria HD.
