Pelakon terkenal Hollywood, Will Smith akan mempertimbangkan untuk bertanding bagi jawatan presiden Amerika Syarikat.

Dalam temubual bersama rancangan CBS Sunday Morning , Smith berkata, dengan wacana politik semasa membuatkannya berfikir bahawa beliau boleh melakukan sesuatu yang lebih baik.

"Jika ada orang terus bercakap perkara-perkara gila, berkaitan perkara yang menjadi topik berita berita baru-baru ini, tentang tembok dan orang Islam, mereka memaksa saya masuk ke arena politik," katanya.

Pelakon berusia 47 tahun yang membintangi filem baru bertajuk Concussion itu berkata, beliau menyasarkan sesuatu yang tinggi sekiranya menyertai politik.

"Maksud saya, saya perlu menjadi presiden. Come on !" katanya lagi.

Sebelum ini, calon parti Republikan Donald Trump mengeluarkan kenyataan untuk melarang orang Islam dari memasuki Amerika Syarikat.

Trump juga berjanji untuk membina tembok sepanjang sempadan Mexico untuk mengelakkan pendatang tanpa izin, mengundang kritikan meluas.

Bagaimanapun, Smith berkata telah menimbangkan untuk memasuki bidang politik sebelum Trump mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Saya sedar bahawa cita-cita (hanya untuk menjadi selebriti) adalah terlalu kecil.

"Saya sedar bahawa tidak mungkin saya diletakkan di sini hanya untuk menjadi seorang bintang filem," katanya.

Sebelum ini, penyanyi rap Kanye West turut mengisytiharkan untuk bertanding jawatan presiden Amerika Syarikat ketika berucap semasa menerima anugerah di MTV Video Music Awards pada Ogos lalu.

Kanye berkata, beliau akan bertanding bagi jawatan itu pada 2020.