Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nana tak lupa peminat
Diterbitkan:  Dec 14, 2015 4:51 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim kedua malam tadi, Siti Nordiana memilih untuk menghargai peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

Dalam tulisannya di Facebook, Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana berkata, beliau bersyukur dengan kemenangan itu.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Terima kasih kepada semua yang menyokong Nana selama ini. Semoga allah SWT membalas jasa anda," kata Nana.

Nana, 31, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000, pakej percutian bernilai RM30,000 ke Madrid, Sepanyol, sebuah trofi serta rakaman single terbaru.

Nana yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan membawa lagu Putus Terpaksa nyanyian asal Ziana Zain dan dalam pusingan battle beliau membawa lagu Awak Kat Mana secara duet bersama Acong Sweetchild.

Nana yang mengalahkan lima peserta lain juga memenangi kategori Persembahan Pilihan Penonton dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Sementara itu, tempat kedua pula disandang oleh Farahdhiya yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 berserta sebuah trofi dan pakej percutian.

Penyanyi kumpulan Exist, Ezad Lazim pula memenangi tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, sebuah trofi dan pakej percutian.

Nassier Wahab pula berada di tempat keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, sebuah trofi dan pakej percutian.

Bagi tempat kelima dan terakhir pula dimenangi oleh Acong dan Haiza yang mana mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Sistem permarkahan diadili seratus peratus oleh empat juri iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khatijah Ibrahim dan dua juri jemputan Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Rosyam Nor.

Lihat Komen
ADS