Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelbagai rintangan mendatang namun kesabaran akhirnya membuahkan hasil apabila kutipan dana untuk meringankan beban pemuzik terkenal era 1980-an, Datuk Ooi Eow Jin, melebihi sasaran ditetapkan.

Malam tadi pula berlangsung konsert orkestra Lagu Untukmu anjuran RTM sebagai mengenang jasa dan penghargaan buat tokoh muzik yang banyak menyumbangkan bakat dan keringat dalam industri tanah air.

Konsert yang berlangsung sekurang-kurangnya 90 minit itu juga diadakan bagi untuk menyerahkan sumbangan berjumlah RM50,000 yang dikumpul Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sebelum ini.

Menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez hasil sumbangan daripada orang ramai itu adalah usaha yang sangat membanggakan.

“Saya bangga kerana masih ramai rakyat Malaysia yang bermurah hati malah prihatin terhadap dugaan menimpa Datuk Ooi Eow Jin selepas beliau banyak berjasa dalam industri muzik.

“Untuk malam ini saja kami berjaya memungut RM10,000 dan jumlah keseluruhan adalah RM50,000," katanya yang ditemui Malaysiakini selepas konsert berkenaan berakhir.

Kata beliau, sasaran asal mereka adalah hanya RM30,000 namun sambutan daripada pelbagai pihak begitu baik sehingga jumlah yang dikumpul melebihi jangkaan awal.

Konsert di Auditorium Perdana Angkasapuri itu turut dihadiri Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim dan isteri Puan Sri Masnah Rais dan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

Persembahan malam tadi memang menarik. Ia menampilkan 14 lagu ciptaan Ooi yang didendangkan beberapa artis terkenal seperti Salamiah Hassan, Rahimah Rahim, Datuk Dhalan Zainuddin, Bob dan Tomok selain artis baru RTM Ernie Zakri, Aisha Safia dan Syahz Mohamad.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah Lagu Untukmu (Dhalan Zainuddin), Serunai Perindu (Ernie Zakri), Kisah Gadis Sepi (Aisha Safia), Terkenang Masa Lalu (Salamiah Hasan), Jika Begini dan Hati yang Rapuh (Rahimah Rahim), Gerimis di Lautan dan Teriring Doa (Tomok).

Persembahan diiringi 30 anggota Orkestra RTM dipimpin pemuzik kanan Jaffar Abdul Rahman Idris atau lebih dikenali sebagai Jari.

Menyewa rumah atas ihsan

Turut diundang sebagai tetamu khas ialah seorang lagi pencipta lagu dan pemuzik terkenal Datuk Dr Ahmad Nawab, bekas Pengarah Muzik RTM, Datuk Dr Johari Salleh dan pemain Orkestra RTM Richard Hoon.

Ooi, 77, disahkan mengidap penyakit Alzheimer dan keuzuran itu menghalang beliau meneruskan kerjaya sebagai penggubah dan pencipta lagu.

Ooi berkahwin dengan Datin Khaw Lean Kee, 75, dan dikurnia dua anak, namun yang sulung meninggal dunia beberapa tahun lalu disebabkan penyakit leukemia, manakala seorang lagi kini menghidap tumor otak.

Dengan usia meningkat dan penyakit dihidapi, Ooi tidak mampu bekerja dan mereka sekeluarga hidup menyewa di kediaman ihsan gereja di Petaling Jaya.

Kerjaya Ooi bermula dengan Orkestra RTM pada 1963 dan bertanggungjawab menghasilkan banyak lagu popular didendangkan artis tempatan.

Pada 1986 beliau berkhidmat sebagai Pengarah Muzik TV3 sehingga 1999.

Menurut sahabat baiknya, Pengarah Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail, terdapat beberapa kekangan untuk melaksanakan konsert seperti malam tadi.

“Ini konsert percuma, kami tidak boleh menerima bayaran dan menjual tiket.

“Sebab itu kami memerlukan bantuan Karyawan untuk mengutip sumbangan," katanya.

Mokhzani juga menyatakan konsert itu Lagu Untukmu agak berbeza dengan tribute kepada penyanyi kerana Ooi adalah watak 'di belakang tabir'.

“Cabaran lain adalah mencari lagu sesuai untuk dimainkan orkestra kerana kebanyakan lagu Ooi berentak perlahan," katanya.

Dhalan pula memberitahu, beliau begitu teruja sebaik saja diminta menyertai persembahan Lagu Untukmu.

“Saya terkejut kerana dijemput untuk membuat konsert.

“Bukan senang untuk mendapat peluang bekerja dengan seorang yang genius seperti Ooi.

"Dia membuat saya begitu terhutang budi sepanjang karier saya.

“Apabila pertama kali melancarkan album, inilah insan yang bertanggungjawab menjaga dan memperkenalkan lagu saya.

“Saya kagum dengannya kerana jarang untuk berjumpa orang sepertinya - berbangsa Cina tetapi menghasilkan sebaik-baik lagu Melayu, ” katanya.

Lihat Komen
ADS