Tiba di Lapangan Terbang Los Angeles dengan pakaian yang banyak rupa-rupanya mengundang masalah kepada kumpulan Oh My Girl (OMG).

Tanpa mengenali mereka adalah artis pihak berkuasa di lapangan terbang menahan semua lapan anggota kumpulan OMG kerana disyaki datang ke AS untuk melacur.

Insiden itu berlaku pada minggu lalu tetapi hanya dilaporkan media semalam.

OMG dijadual mengadakan persembahan di depan peminat mereka di Los Angeles dan seperti biasa kumpulan berkenaan membawa segala kelengkapan - termasuk pakaian - yang diperlukan bagi menjayakan pertunjukan berkenaan.

OMG juga sepatutnya menjalani proses penggambaran bagi menyiapkan album terbaru mereka.

Keayuan wajah anggota OMG juga mungkin menimbulkan kecurigaan kepada pihak kastam AS.

Akibatnya mereka ditahan di lapangan terbang itu selama kira-kira 15 jam.

Sementara itu jurucakap kastam AS menjelaskan OMG ditahan dan disiasat kerana tidak memiliki visa yang sepatutnya.

Jurucakap yang enggan dikenali itu berkata anggota OMG "berbohong" dengan mendakwa datang ke Los Angeles bercuti dan kononnya tiba sebagai pelancong.

"Mereka cuba mengambil kesempatan dengan mengaku sebagai pelancong kerana undang-undang membenarkan pelawat Korea Selatan masuk ke AS tanpa visa jika tempoh lawatan kurang dari 90 hari," katanya.

"Kami hanya menjalankan tugas. Jika undang-undang menyatakan begitu, kami akan menghantar pulang pelawat yang gagal mematuhi arahan," katanya.

Pihak kastam juga mendakwa OMG sengaja mereka-reka cerita kononnya kumpulan berkenaan ditahan kerana disyaki pelacur.