Sebuah filem pendek berkisar mengenai keinginan seorang surirumah memiliki telefon genggam kini menjadi bahan kempen agensi antirasuah Indonesia, Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK).

Diterbitkan oleh Mata Mata Project, Tinuk memenangi pertandingan "Bikin Filem Bersama KPK" baru-baru ini.

Tempo melaporkan, filem 15 minit itu diarahkan oleh Aprilingga Dani adalah produksi pertama Mata Mata Project dan buah tangan sulung Aprilingga.

Dia mengungguli pertandingan itu dengan mengetepikan sembilan filem lain.

Bercakap kepada media, Aprilingga berkata pada awalnya dia menyertai pemilihan skrip untuk mendapatkan dana terbitan.

"Selepas berjaya, saya mengikuti kursus sutradara dan produksi di Jember pada 28 Mei lalu," katanya.

Kemudian barulah lahir Tinuk.

Film itu bercerita tentang seorang wanita dan juga ibu bernama Tinuk memujuk suaminya membelikan telefon genggam setiap kali ada penjual datang ke rumah mereka.

Suami Tinuk adalah Wahono yang menyara hidup sebagai penjaga parkir.

Didesak keinginan memiliki peranti itu Tinuk memujuk Wahono 'meminjam' wang kutipan parkirnya sebagai modal namun ditolak si suami.

"Sehina-hina aku menjadi penjaga parkir, tidak sekali-kali aku sanggup mencuri," katanya.

Tinuk dilakonkan oleh Ratih Cahyaningtyas yang juga anggota band Tani Maju, manakala Novan Tri membawa watak Wahono.

Seorang lagi anggota band Tani Maju, Leo, diberi peranan penjual telefon genggam.

Kali pertama Tinuk ditayangkan adalah pada temasya Festival Filem Antirasuah 2015 di Bandung pada 10 Disember lalu.

Aprilingga adalah siswa fakulti komunikasi Universiti Muhammadiyah Malang dan masih 'berjuang' untuk menamatkan pengajiannya.