Selepas kira-kira tiga tahun menjadi suami isteri, Ashanty secara terbuka mengucapkan bahawa pasangan hidupnya, Anang Hermansyah "sudah berubah".
Peristiwa itu berlaku di depan orang ramai yang menyaksikan sambutan meraikan hari lahir anak mereka, Arsy Addara Musicia Nur Hermansyah, 2, di Jakarta Pusat semalam.
"Aku lihat kamu bukan lagi suamiku yang dulu," kata Ashanty.
Walaupun kata-kata itu serius, Ashanty, 31, berniat baik dan bergurau.
Di mata Ashanty Anang, 46, masih suami yang disayangi dan perubahan yang dimaksudkan hanyalah perubahan usia serta gaya penampilannya.
"Kata Anang dia sudah amat tua sekarang. Gaya duduknya juga berbeza.
"Dulu kalau duduk, nampak santai saja tapi sekarang Anang kelihatan seperti ahli politik," katanya kepada orang ramai yang menghadiri majlis itu.
Sebenarnya Anang seorang ahli politik. Dia terpilih sebagai pemenang dalam pilihan raya umum Indonesia pada 9 April 2014 mewakili Parti Amanat Nasional (PAN).
Dia mewakili kawasan parlimen Jawa Timur IV bagi penggal 2014 - 2019.
Menanggapi gurauan Ashanty, Anang secara mesra menjawab: "Memang saya sudah tua..."
Ashanty berkata, sejak menjadi wakil rakyat dia melihat perbezaan ketara pada Anang.
Justeru, kata Ashanty, dia sudah beberapa kali merajuk kerana belum dapat memujuk Anak supaya tidak lagi bertanding dalam piihan raya umum akan datang.
"Susah. Nak berucuti pun biasanya tak ada masa, atau perlu tunggu Anang tak sibuk, sedangkan dia sentiasa mendahulukan pekerjaan daripada saya," katanya.
Anang kemudian mengakui kata-kata isterinya.
"Ini memang tempoh peralihan yang mencabar untuk keluarga. Saya melihat ia sebagai cabaran dan tanggungjawab.
"Isteri dan anak memang sukar menerima perubahan ini kerana ia dua dunia yang berbeza.
"Cuma di sebalik kesibukan itu kami tetap bahagia," katanya.
