Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Persoal tak apa, Aliff Aziz ada restu keluarga

Walaupun tidak mendapat sokongan sesetengah pihak, penyanyi kelahiran Singapura Aliff Aziz nekad meneruskan apa yang dirancang kerana di belakangnya ada restu ibu bapa.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 25 pernah terpalit pelbagai kontroversi dan baru-baru ini mengikat tali pertunangan dengan kekasih hati selepas setahun menjalin cinta.

Tetapi ada pihak mendakwa tindakannya itu sekadar mahu menutup kisah yang pernah menghimpitnya satu ketika dulu.

Namun, bagi penyanyi yang popular dengan lagu “Sayang Sayang” itu, perkara sedemikian sudah menjadi lumrah, terutama bagi golongan selebriti, apabila tindakan mereka sering dipertikai.

“Hal begini biasalah.

“Akan ada peminat yang sokong atau pun tidak.

“Apa yang paling penting di kemudian hari adalah perkara yang buat saya gembira.

“Restu daripada ibu, bapa dan keluarga paling penting di saat ini,” katanya.

Aliff ditemui selepas tayangan perdana filem romantik komedi Bollywood Dilwale di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem itu menyatukan Aliff dan Kilafairy sebagai pasangan duet bagi lagu “Gerua” versi Bahasa Melayu, yang berjudul “Warna-Warna Cinta”.

Bagi Aliff, tiada pandangan yang dianggap salah kerana masyarakat berhak memberikan pendapat mereka.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak akan membiarkan pandangan segelintir pihak hingga boleh menjejaskan masa depannya.

Aliff mengikat tali pertunangan dengan Bella Astillah, 21 pada 12 Disember lalu di Crystal Hall, Plaza Jelutong.

Bella adalah penuntut di kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) dan mengambil jurusan penyiaran.

Terdahulu, Aliff juga pernah dikritik lantang apabila memuat naik gambarnya dengan Bella yang dilihat terlalu mesra.

Tetapi segala pertikaian itu mulai berkurangan selepas Aliff mengumumkan pertunangannya dengan Bella.

Pasangan itu merancang untuk melaksanakan perkahwinan mereka pada tahun depan, namun masih belum menetapkan tarikh sebenar.

Biarpun kedua-duanya masih muda, Aliff berasakan dia sudah bersedia untuk menghadapi cabaran hidup dan menjalani kehidupan berumahtangga.

“Umur sekadar angka dan kegembiraan itu harus diukur dengan siapa yang berjaya membuatkan kita berasa demikian.

“Saya cukup bersedia untuk menyahut cabaran yang ada,” katanya.

Lihat Komen
ADS