Jika sebelum ini penyanyi Search Amy pernah menyatakan tidak mengetahui Nabila Huda bakal berkahwin, kali ini dia mendoakan yang terbaik buat anaknya itu.
Menurut Amy ( gambar ) atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, sebagai bapa dia menyokong apa saja dirancang oleh Nabila.
"Bagus jika dia ingin berkahwin. Sudah sampai jodohnya," katanya.
Amy, 57, ditemui selepas sidang media perasmian Pameran Cahaya Jiwa di Istana Budaya hari ini.
Beliau terlibat dalam paduan unik Amy dan pelukis Saiful Kadir untuk pembangunan dan operasi Sekolah al-Quran dan Hadis Al Bayyan.
Menurut Amy, majlis perkahwinan Nabila akan berlangsung pada hari Natal pada 25 Disember ini.
Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Isabella itu berkata, dia tidak mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai hal itu.
"Saya hanya mengetahui tarikh dia akan melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember ini.
"Selebihnya saya tidak tahu," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Nabila akan berkahwin dengan pengurus restoran Kulcats.
Ini adalah perkahwinan kedua buat Nabila atau lebih dikenali sebagai Abil.
Nabila bercerai dengan Zaidi Zailani, 34, pada 2011.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak Keisha Laila, kini berusia lima tahun.
Amy difahamkan, majlis akad nikah Nabila akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada pukul 9 pagi.
"Kali ini saya tidak banyak campur tangan.
"Saya hanya menjalankan urusan sebagai wali dan selebihnya akan diuruskan oleh ibunya," katanya.
Mengenai keperibadian bakal suami Nabila pula, Amy berkata, setakat ini dia menyenangi sifatnya.
"Saya pernah berjumpa dengannya dan setakat ini, orangnya dilihat baik saja," katanya.
