Rano Karno disiasat agensi antirasuah
Entah bagaimana Rano Karno melalui cuti Krismas kali ini, kerana selepas tarikh itu dia dikehendaki bertemu agensi antirasuah Indonesia berhubung penangkapan dua individu berprofil tinggi.
Dia yang terkenal sebagai pelakon dan penyanyi pada era 1970-an hingga 1980-an kini berkhidmat sebagai Gabenor Banten.
Walaupun belum mendapat maklumat lanjut mengenai pertemuan itu, jurucakap Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia memaklumkan, Rano Karno, 55, akan dipanggil pada minggu ini juga.
"Maksudnya, Gabenor Banten tetap dipanggil memberi keterangan selepas cuti Krismas nanti," katanya.
Pernah membintangi hampir 100 filem, Rano Karno juga dikenali sebagai pengarah sebelum menceburi bidang politik.
Dia menjadi pemangku Gabenor Banten sejak Mei 2014 bagi menggantikan gabenor sebenar, Ratu Atut Chosiyah yang terpalit dengan skandal rasuah.
Rano Karno kemudian mengisi jawatan secara rasmi pada Ogos lalu.
Keterangannya diperlukan berhubung penangkapan dua ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah dan seorang Pengarah Utama PT Banten Global Development (BGD).
Awal bulan ini Rano Karno mengesahkan dia perlu memberi keterangan atas kapasitinya sebagai gabenor dan pemegang saham BGD.
Dia juga mengaku kecewa dengan skandal berkenaan kerana daerah itu sekali lagi terpaksa berdepan dengan siasatan kes rasuah.
"Sepatutnya kita belajar daripada sejarah," katanya kepada media.
Mengenai siasatan berkenaan, Rano Karno berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada KPK untuk menjalankan tugas serta mengambil tindakan jika perlu.
Difahamkan, penangkapan itu dibuat ekoran cadangan penubuhan Bank Banten.

