Bayangkan apa yang akan berlaku jika ketangkasan kung fu Ip Man digabungkan dengan perang angkasa mempesonakan Star Wars ?

Sama ada ia mampu menjadi adikarya terbaru dunia filem, semuanya akan terjawab dalam filem Star Wars episod seterusnya.

Dalam edisi baru siri francais itu, bintang Hong Kong Donnie Yen, yang terkenal dengan pembawaan berjaya dalam filem aksi Ip Man , dikatakan akan membawakan watak jedi.

Memetik Apple Daily, The Straits Times melaporkan Yen dijadual berada di London bulan depan untuk penggambaran filem itu.

Beliau dikatakan akan melakonkan watak seorang jedi berbangsa Cina yang akan bertemu dan menjadi rakan seperjuangan watak ikonik Star Wars Han Solo.

Apple bagaimanapun tidak menyatakan sumber atau pengesahan rasmi berhubung maklumat itu.

Yen dikatakan berjaya mengetepikan calon-calon lain dalam senarai, termasuk bintang handalan Jet Li dan Stephen Chow.

Disney pada Mac mengumumkan episod 8 Star Wars dijadual terbit pada 26 Mei 2017, yang akan diarahkan oleh Rian Johnson.

Star Wars episod 7 masih menguasai panggung-panggung wayang di seluruh dunia setelah seminggu memasuki layar perak.

Ip Man 3 juga sedang ditayangkan pada masa ini.