Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Pasang Hawkwind kuat-kuat, Kilmister sudah pergi'
Diterbitkan:  Dec 29, 2015 2:00 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Pengasas dan vokalis kumpulan metal legenda Britain Motorhead Lemmy Kilmister dilaporkan meninggal dunia empat hari selepas sambutan ulang tahunnya yang ke-70.

Kilmister atau nama sebenarnya Ian Fraser Kilmister disahkan menghidap kanser sehari selepas sambutan Krismas baru-baru ini.

Dia menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles, California.

Kenyataan itu diumumkan menerusi akaun Facebook rasmi kumpulan berkenaan.

“Kami tidak tahu bagaimana untuk meluahkan dan menggambarkan kesedihan ini.

“Mungkin kami akan akan dapat membuat kenyataan dalam tempoh beberapa hari lagi, tetapi sekarang tolong mainkan lagu Motorhead, Hawkwind sekuatnya.

“Pasangkan muzik Lemmy dengan kuat dan kongsikan berita ini,” menurut kenyataan itu.

Kilmister dilahirkan di Burslem, Staffordshire pada 1945.

Sebelum Motorhead, Kilmister pernah menganggotai Hawkwind dari tahun 1972 hingga 1975.

Dia kemudiannya menubuhkan Motorhead selepas dipecat dari kumpulan Hawkwind kerana ditahan atas kesalahan memiliki dadah di sempadan Kanada-AS di Ontario dan menghabiskan masa lima hari di penjara.

40 tahun, 23 album

Kilmister yang juga pemain basis Motorhead adalah satu-satunya anggota yang tidak pernah meninggalkan kumpulan itu.

Sepanjang 40 tahun kumpulan itu bertahan, ia telah menerbitkan 23 album dan menjadi popular selepas mengeluarkan single “Ace of Spades”.

Pengaruh Motorhead amat besar pada zaman Rock British.

Kumpulan itu berterusan membawa genre Hard Rock dan Heavy Metal hingga ia mula diterima di seluruh dunia.

Album Motorhead yang mencapai kutipan tertinggi adalah No Sleep ’Til Hammersmith dengan menakluki kedudukan nombor satu carta album UK.

Kini anggota Motorhead yang tinggal adalah Phil Campbell dan Mikkey Dee.

Ketika hayatnya, Kilmister bukan saja terserlah kerana memiliki vokal yang unik, malah kerana sikapnya yang gemar berparti, minum alkohol dan ketagihan dadah.

Dalam sebuah wawancara dokumentari yang disiarkan oleh syarikat televisyen Britain, Channel 4 pada 22 Ogos 2005 menyatakan Kilmister pernah meniduri seramai 2,000 wanita.

Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal oleh Kilmister.

“Saya pernah meniduri lebih 1,000 wanita, tetapi media itu menggembar-gemburkan kenyataan itu sehingga dua kali ganda,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS