Akim tak mahu gopoh didik Stacy
Sesudah bersabar selama enam tahun untuk melihat Stacy memeluk Islam, tiada sebab untuk Akim Ahmad gopoh mendidik bakal isterinya itu.
Menurut Akim atau nama asalnya Afiq Hakim Ahmad, 24 dia mempunyai pendekatan tersendiri dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bakal suami kepada Ummu Shaikhah Stacy Anam atau Stacy, 25.
“Memang tanggungjawab saya sebagai suami besar dan umum meletakkan harapan tinggi terhadap saya.
“Apa yang saya boleh katakan adalah, saya sering menganggap Stacy sebagai kawan sekepala,” katanya kepada Malaysiakini .
Akim ditemui di sidang media Mentor Milenia di Pullman Kuala Lumpur City Center & Residences semalam.
Akim ( gambar ) selamat mengikat tali pertunangan dengan Stacy pada 26 September lalu di Amber Hills, Melawati.
Stacy menjadi saudara baru Islam pada 24 Ogos lalu.
Dua bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ketujuh itu merancang untuk melangsungkan perkahwinan mereka pada Februari tahun depan.
Persiapan 70% siap
Majlis pernikahan akan diadakan di kediaman Stacy di Penampang, Sabah manakala majlis resepsi akan berlangsung di rumah keluarga Akim di Johor Baharu.
Tempoh perkenalan yang memakan masa bertahun membuatkan Akim berlapang dada dalam melaksanakan tugasnya sebagai pembimbing kepada seorang mualaf.
“Stacy seorang yang mudah mendengar kata dan sering mengambil berat terhadap sesuatu perkara.
“Semoga saya tidak salah dalam memberi tunjuk ajar mengenai hal sebegini.
“Dalam mengajarnya, saya mahu dia mengikut telunjuk yang betul, tetapi jika salah, dia tidak perlu mengikutnya.
“Mudah-mudahan, saya berharap orang berdoa begitu untuk perkahwinan kami,” katanya.
Sementara itu, mengenai persiapan perkahwinan pula, Akim menjelaskan dia mahu segalanya mempunyai nilai apresiasi.
Persiapan perkahwinan mereka sudah menjangkau 70 peratus siap untuk kedua-dua tempat.
Perkahwinan sederhana
Sebelum ini, media tempatan melaporkan pasangan itu menginginkan perkahwinan diraikan dalam majlis sederhana.
Namun, yang sebenarnya bagi Akim, segala persiapan perkahwinan perlu mempunyai keseimbangan dari aspek pengurusan.
Katanya, itu cara dia menghargai seseorang yang dikasihi.
“Saya mementingkan nilai apresiasi dalam hal sebegini kerana saya ingin menyunting anak orang.
“Saya perlu menunjukkan usaha dalam segala perkara seperti majlis yang akan diadakan.
“Macam mana caranya saya menguruskan majlis dan berbelanja, akan nampak beretika di situ.
“Oleh itu saya mahukan keseimbangan biarpun ada penaja tetapi masih ada usaha datang daripada diri saya sendiri,” katanya.

