Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Christopher Nolan cuba filem sejarah
Diterbitkan:  Jan 2, 2016 3:56 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Pengarah Christopher Nolan terkenal kerana hasil garapan berbentuk sains fiksyen dan aksi, tetapi kali ini dia akan membawa perubahan dalam filem terbaru arahannya Dunkirk .

Dunkirk adalah filem yang berlatarbelakangkan sejarah Perang Dunia Kedua.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Warner Bros, filem berkenaan mengisahkan pemindahan lebih 300,000 tentera Britain di Dunkirk, Perancis.

Menurut Presiden Pembangunan Kreatif dan Pengeluaran Seluruh Dunia Warner Bros Greg Silverman, kerjasama itu adalah sesuatu yang sering dinantikan.

“Kami teruja dapat meneruskan kerjasama dengan Christopher Nolan, pembikin filem tunggal yang menghasilkan antara karya paling kritikal dan komersial sepanjang zaman,” katanya.

Selain mengarah, Nolan turut menulis skrip dan menerbitkan filem.

Nolan mula mencipta nama selepas menghasilkan filem Following (1998) dan semakin terkenal menerusi Memento (2000).

Usahanya menerusi filem bebas membuka ruang buat Nolan menghasilkan filem berskala besar seperti Insomnia (2002) dan The Prestige (2006).

Nolan semakin popular, tetapi kejayaan itu datang dengan pelbagai kritikan.

Namun, dia dianggap berjaya mengukuhkan namanya dalam industri perfileman apabila menghasilkan The Dark Knight Trilogy (2005 hingga 2012), Inception (2010) dan Interstellar (2014).

Penggambaran Dunkirk dijadual berlangsung pada Mei dengan menggunakan beberapa lokasi dan peristiwa sebenar.

Nolan akan mengarah Dunkirk berdasarkan lakon layar asal dan isterinya, Emma Thomas akan turut berganding bahu menerbitkan filem berkenaan.

Ia dijangka menemui peminat pada Julai 2017.

Bagaimanapun, barisan pelakon utama masih belum diputuskan secara rasmi.

Kata Silverman, Dunkirk filem yang mempunyai tarikan tersendiri.

Dunkirk bakal menghiburkan dengan kisahnya yang hebat.

“Kami tidak sabar untuk melihat filem itu dan barisan pelakon yang dipilih Chris dan Emma di layar perak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS