Kehilangan watak Zhu Bajie pada papan iklan dan poster filem fantasi Hong Kong, Journey to the West - The Monkey King 2 disebabkan aktornya, Xiao Shen Yang, kurang dikenali di Malaysia.

Memetik kenyataan Pengurus Pengedaran GSC Movies - syarikat yang mengedarkan filem berkenaan - Hou Xiu Chang, akhbar Oriental Daily News melaporkan, keputusan mengetepikan watak lelaki berwajah babi berkenaan dibuat atas aktor perniagaan dan pengaruh Xiao.

"Di Malaysia, ramai orang kenal Aaron Kwok dan Him Law.

"Pada awalnya kami bercadang memaparkan watak Raja Monyet atau Syaitan Tulang Putih pada poster berkenaan bagaimanapun syarikat pengedaran dari China tidak sempat membekalkan poster mengikut masa yang ditetapkan," katanya.

Hou juga mengakui GSC Movies mengetepian imej Zhu Bajie daripada papan iklan dan poster filem berkenaan untuk tayangan di negara ini.

Dalam filem Journey to the West - The Monkey King 2 itu Kwok muncul membawa watak Raja Monyet, Him Law sebagai Sha Wujing dan aktor dari China, Feng Shao Feng membawa peranan sami Tang Sanzang.

Watak manusia separuh babi - Zhu Bajie - dibawa pelawak Xiao Shen Yang yang terkenal di China sejak 2009.

Journey to the West - The Monkey King 2 dihasilkan daripada cerita klasik terkenal China yang tertumpu kepada Syaitan Tulang Putih yang menculik Tang kerana mahu memakan daging sami berkenaan.

Mempertahankan tindakan syarikat itu, Hou berkata penonton di Malaysia tidak kenal dengan bintang filem dari China.

"Kami mesti memaparkan wajah yang dikenali peminat wayang untuk menarik minat mereka," katanya.

Hou juga menafikan syarikat berkenaan mempunyai sebarang agenda tersembunyi dengan 'menyembunyikan' watak Zhu Bajie daripada bahan promosi mereka.

Dia juga menyatakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) meluluskan poster berkenaan tanpa sebarang pindaan.

"Di Malaysia kita peru tahu apa yang boleh dan apa yang dilarang. Biasanya kami akan mengubah suai poster sebelum mendapatkan kelulusan daripada LPF.

"Kali ini pihak yang berkenaan terus memberikan lampu hijau ketika poster filem Journey to the West - The Monkey King 2 dikemukakan untuk kali pertama," katanya.

[Baca berita asal]