Salah seorang anggota kumpulan boyband dari Korea Selatan, Big Bang, dilaporkan memfail saman ke atas seorang selebriti wanita atas dakwaan terbabit dalam skandal penipuan harta tanah membabitkan kerugian bernilai AS$1.7 juta (RM7.4 juta).

Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun, 25, dikatakan menjadi mangsa skim pelaburan kononnya dikendalikan penyanyi Shin Eun Sung.

Anggota paling muda Big Bang itu memfailkan saman berkenaan pada 29 Disember lalu tetapi media tempatan hanya melaporkannya semalam.

Ekoran skandal berkenaan, agensi yang mengendalikan Big Bang, YG Entertainment, tampil untuk melegakan keadaan.

“YG Entertainment akan menangani situasi ini bersama Seungri untuk memastikan dia tidak mengalami kerugian lebih banyak,” kata jurucakap syarikat berkenaan.

Dalam aduannya Seungri mendakwa dia didatangi Shin ( gambar ) pada 2014 yang menawarkan pelaburan ke atas sebuah bangunan.

Untuk itu, Seungri diminta memberikan wang bernilai RM7.4 juta kepada Shin sebelum 'pelaburan' berkenaan ditambah lagi sebanyak AS$43,000 (RM188,340) dalam transaksi kedua.

Shin adalah selebriti jelita Korea Selatan yang mula aktif dalam dunia hiburan sejak awal 2000.

Sepanjang kariernya sebagai penyanyi, Shin pernah menerbitkan dua album - Go Away pada 2003 dan Bye Bye setahun kemudian.

Baru-baru ini, dia dikatakan menutup agensi hiburan yang ditubuhkannya.

Seungri pula menghabiskan 2015 dalam projek kemunculan semula Big Bang dan jelajah keliling dunia.

Selain Seungri, Big Bang - ditubuhkan pada 2006 - turut dianggotai oleh G-Dragon, T O P, Taeyang dan Daesung.

Setiap kali membuat persembahan, Big Bang tidak pernah menghampakan peminatnya dengan penampilan, koreografi dan kostum yang mengagumkan.